KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dinasihat supaya menguruskan dana pelaburannya dengan baik dalam bagi mengelakkan sebarang kemungkinan risiko sehingga menyebabkannya rugi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelaburan dengan matlamat untuk mendapatkan pulangan yang tinggi juga mempunyai risiko sangat tinggi.
Beliau mengingatkan supaya LTAT tidak melupakan asas penubuhan memandangkan banyak agensi atau syarikat yang melabur sudah tersasar kerana melalukan perkara yang berada di luar kemampuannya.
“Banyak agensi atau syarikat besar tapi tutup, maksud saya mereka baik dalam teras perniagaan mereka, tetapi mempelbagaikan benda yang bukan mereka punya teras perniagaan.
“Belum terlambat lagi untuk kita memperbetul kemudi hala tuju dan falsafah perniagaan kita. Kita mempunyai amanah dan tanggungjawab besar mengurus tabung anggota tentera.
“Jangan terlampau mengejar sesuatu, tidak perlu. Kita buat apa yang kita bagus dan apa yang kita tahu agar kalau ada apa-apa berlaku kita boleh cari jalan keluar,” katanya semasa berucapan dalam Majlis Pengumuman Dividen 2022 dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di Menara Chulan, di sini hari ini.
Sebelum itu, LTAT mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM476.45 juta bagi tahun 2022. Pengkreditan dividen 2022 telah diagih kepada 122,935 pencarum pada 10 Mac lalu.
Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, kadar dividen itu menandakan peningkatan berbanding 2021 sebanyak 4.1 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM379.42 juta.
Mengulas lanjut, kata Mohamad, LTAT juga diingatkan supaya tidak mendedahkan tabung kepada risiko tinggi yang akhirnya menyebabkan prinsipal tidak terjamin.
“Ambil ini sebagai nasihat kepada saya, secara ringkasnya, jangan letakkan kesemua telur di dalam satu bakul, kalau ada apa-apa nanti susah.
“Belajar daripada apa yang telah berlaku sebelum ini, kita mesti mengambil iktibar dari sejarah, supaya kita tidak mengulangi perkara-perkara yang memudaratkan seperti apa yang dilalui oleh organisasi atau orang sebelum kita,” katanya. – UTUSAN










