KUALA LUMPUR: Lima bank utama di negara ini ‘dikenal pasti’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana digunakan sindiket penipuan antarabangsa untuk membuat transaksi wang haram ke luar negara.
Maklumat itu diperoleh lanjutan siasatan SPRM daripada Op Tropicana selepas menahan 11 individu termasuk dalang sindiket berkenaan yang didalangi oleh warga negara United Kingdom (UK).
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sindiket berkenaan dipercayai mampu membuat transaksi wang sekitar RM1 juta setiap hari.
Menurut sumber, bank terbabit berperanan mewujudkan akaun bank untuk kegunaan sindiket dalam proses pemindahan wang ke luar negara.
Kata sumber lagi, ada pegawai bank di institusi berkenaan telah dibayar antara RM1,000 sehingga RM2,000 bagi melepaskan transaksi berkenaan tanpa melalui tapisan dan prosedur operasi standard (SOP).
“Kira-kira lima hingga 20 pegawai bank yang bertugas di bank berkenaan telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti itu.
“Akaun-akaun ini adalah transit kerana sindiket akan memindahkan wang terbabit ke dalam akaun sebenar,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, sumber menambah, SPRM turut mengenal pasti syarikat ‘dummy’ yang digunakan sindiket bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.
Kata sumber, turut terlibat sama ialah golongan profesional dipercayai peguam, juruaudit, setiausaha syarikat, akauntan serta pengarah syarikat yang disyaki bersekongkol dengan sindiket.
“Hasil siasatan mendapati syarikat ini telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diwujudkan bagi proses pemindahan wang.
“Pemindahan wang berkenaan dipercayai akan dihantar ke Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Dalam pada itu, kata beliau, SPRM akan menuduh dua orang warga UK yang disyaki dalang sindiket di Mahkamah Shah Alam esok.
“Kita akan teruskan siasatan meskipun dua individu termasuk dalang sindiket ini dituduh esok,” jelasnya. – UTUSAN










