Lebih RM50 juta dibelanjakan, siasatan akaun Bersatu di fasa akhir

Lebih RM50 juta dibelanjakan, siasatan akaun Bersatu di fasa akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) membabitkan wang lebih RM300 juta yang disyaki diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah berada di fasa ter­akhir untuk dilengkapkan dengan cadangan pertuduhan terhadap individu tertentu.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tidak menolak kemungkinan cada­ngan pertuduhan berkenaan dibuat dibawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan atau Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembia­yaan Keganasan 2001 (AMLA), namun bergantung kepada hasil siasatan akhir.

Kata beliau, tumpuan siasatan SPRM kini adalah mengesan jejak wang bernilai lebih RM50 juta yang ‘dibelanjakan’ secara tunai selepas ia dikeluarkan daripada akaun berkenaan sebelum disalurkan kepada individu ter­tentu dan parti lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sumber berkata, rentetan itu, SPRM telah menahan reman Bendahari Agung Parti itu kelmarin bagi menjelaskan setiap wang yang telah dibelanjakan.

“Wang lebih RM50 juta itu hanya sebahagian daripada lebih 300 juta dana yang dimasukkan kontraktor tertentu ke dalam akaun Bersatu bagi tujuan politik.

“Sebanyak lebih 40 juta ma­sih berada di dalam dua akaun Bersatu manakala selebihnya termasuk lebih RM50 juta ini telah dibelanjakan. Jadi, SPRM perlu lihat sama ada ia benar-benar digunakan bagi kempen politik atau sebaliknya,” kata­nya di sini semalam.

Dalam pada itu, ditanya sama ada, parti-parti lain juga berada dalam ‘radar’ siasatan SPRM, sumber berkata, perkara itu bergantung kepada jejak kewangan tersebut.

Jelas sumber lagi, setakat ini, dua akaun membabitkan parti berkenaan masih dibekukan SPRM meskipun Bersatu telah menghantar surat kepada SPRM untuk meminta supaya perintah pembekuan akaun parti itu dibatalkan.

“Dua akaun berkenaan adalah sebahagian daripada siasatan yang dilakukan SPRM, jadi ia masih dibekukan,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kepada Utusan Malaysia, pihaknya telah menahan reman Bendahari Agung Bersatu, Datuk Mohamed Salleh Bajuri bagi siasatan lanjut.

Mohamed Salleh ditahan reman selama dua hari selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya semalam.

Utusan Malaysia difahamkan, reman Mohamad Salleh dijangka tamat esok dan berkemungkinan akan disambung reman bergantung kepada keperluan siasatan.

Pada 23 Februari lalu, Utusan Malaysia mendedahkan SPRM meneliti jejak wang RM50 juta sama ada digunakan Bersatu semasa kempen Pilihan Raya Nege­ri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu atau kemungkinan masuk ‘ke poket sendiri’.

Siasatan SPRM mendapati ada pihak yang ‘membelanjakan’ jumlah tertentu dana itu.

Pada 3 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Bersatu dipercayai dibelanjakan semasa PRN dan PRU15.

Siasatan SPRM berhubung perkara itu difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan ia diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.

Sebahagian daripada dana RM300 juta tersebut dipercayai dimasukkan oleh syarikat-syarikat atau kontraktor ke dalam akaun Bersatu ketika tempoh pemerintahan PN sejak 2020 hingga tahun lalu.

PN ialah gabungan lima parti iaitu Bersatu, Pas, Parti Solida­riti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Gabungan tersebut di­penge­rusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini