JOHOR BAHRU: Lebih ramai individu termasuk orang kenamaan bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan berkaitan siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, pihaknya tidak akan memberi pengecualian dan perlindungan kepada mana-mana pihak.
“Maklumat daripada pegawai penyiasat memberitahu, ramai lagi saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan, bukan sahaja dari dalam negara, malah melibatkan individu luar negara.
“Saya tidak menolak sesiapa sahaja (diambil keterangan), baik VIP atau menteri yang terlibat dalam kes ini, semua akan dipanggil untuk memastikan siasatan kes ini dapat dijalankan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa siasatan berkaitan isu pembinaan LCS perlu diteruskan.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Johor, di sini hari ini.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pendakwaan berkaitan isu pembinaan LCS pada peringkat awal yang dijalankan sebelum ini tidak mencukupi memandangkan melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan.
Sehubungan itu, Azam memberitahu siasatan dijalankan pihaknya untuk membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang yang begitu besar dalam kes LCS.
Sementara itu, Azam turut memaklumkan perkembangan melibatkan kes Jana Wibawa masih berjalan dan ada dua fail siasatan yang sedang diteruskan walaupun sudah ada pihak didakwa di mahkamah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa SPRM sedia menyiasat sesiapa sahaja pemimpin politik sekiranya terdapat aduan dan bukti salah laku melibatkan mereka serta siasatan akan dijalankan secara adil dan telus.
“Dalam menyiasat kesalahan melibatkan mana-mana parti politik, yang penting kita kena pastikan adakah parti berkenaan melakukan salah laku rasuah, kita memang boleh siasat tetapi apakah kesalahan yang berlaku?
“Dalam kes rasuah ini, secara prinsipnya ialah mana-mana pihak sekiranya menggunakan kuasa berkenaan untuk kepentingan diri atau mana-mana pihak lain ia satu kesalahan yang diklasifikasikan sebagai rasuah yang perlu disiasat SPRM.
“Oleh itu, mana-mana pihak yang kita akan siasat elemen berkenan perlu ada dalam aduan dikemukakan,” katanya mengulas cabaran dibuat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu SPRM turut menyiasat Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana politik. – UTUSAN










