Lantikan dalam GLC lihat latar belakang, kelulusan, pengalaman - TPM - Utusan Malaysia

Lantikan dalam GLC lihat latar belakang, kelulusan, pengalaman – TPM

AHMAD ZAHID Hamid bersama-sama penerima kunci projek perumahan SPR Perda di Kuala Sungai Pinang di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Lantikan seseorang individu bagi menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) tidak dibuat hanya berdasarkan individu berkenaan merupakan pemimpin politik; Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, lantikan itu melihat kepada latar belakang, kelulusan dan pengalaman individu yang dilantik berkenaan.

Malah, ujar beliau, lantikan itu juga dibuat berdasarkan garis panduan oleh Kabinet selain mengikut nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lantikan ini sesuatu yang lumrah dan pernah dilakukan (kerajaan) sebelum ini dan kita (kerajaan) tidak akan lantik mana-mana individu yang tidak akan memberi sumbangan kepada organisasi yang diketuainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan kunci kepada 10 penyewa projek perumahan Skim Perumahan Rakyat (SPR) Perda di Kuala Sungai Pinang di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditanya mengenai isu lantikan politik dalam GLC yang mencetuskan perdebatan berikutan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan Kerajaan Perpaduan tidak akan mengamalkan konsep lantikan politik dalam sesebuah syarikat.

Antara lantikan yang mencetuskan kontroversi itu termasuk lantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra.

Malah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut mengingatkan, pelantikan ahli politik ditegah jika ia membabitkan perjawatan dalam GLC khususnya yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Menyentuh mengenai pelantikan Asyraf Wajdi, Ahmad Zahid berkata, adalah satu kerugian sekiranya pengalaman dalam bidang perbankan yang dimiliki bekas Ketua Pemuda UMNO berkenaan tidak digunakan untuk sama-sama membantu kerajaan.

“Asyraf Wajdi adalah seorang pakar dalam bidang perbankan, itu adalah profesion beliau dan beliau masuk (menyertai) politik dengan pengalaman itu.

“Jadi, adalah rugi jika pengalaman dan kelulusan yang dimiliki beliau itu tidak digunakan bersama-sama saya (kerajaan) untuk membangunkan Mara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut mengesahkan Ketua Wanita UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), namun tidak mengulas lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.