Lantik segera pengerusi, ahli lembaga pengarah PTPK

Lantik segera pengerusi, ahli lembaga pengarah PTPK

NORDIN ABDUL MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Malaysia (GILKSM) menggesa kerajaan segera melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pengerusi GILKSM, Nordin Abdul Malek berkata, ketiadaan pengerusi dan ahli lembaga pengarah PTPK sejak pembuburan Parlimen pada November lalu menyebabkan banyak urusan berkaitan kelulusan PTPK yang tertangguh.

Menurutnya, kelewatan pelantikan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan isu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sedang hangat diperkatakan.

“GILKSM menerima banyak aduan dan keluhan daripada penyedia latihan swasta yang melaporkan kesukaran untuk mendapat kelulusan urusan yang berkaitan dengan PTPK disebabkan ketiadaan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah PTPK yang baharu selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan Disember lalu.

“Difahamkan masalah ini mula timbul sejak pembubaran Parlimen pada November lalu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang mengakibatkan pengerusi dan ahli lembaga pengarah PTPK dikosongkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ini menyebabkan pelbagai permohonan dan kerja berkaitan yang memerlukan kelulusan PTPK tertangguh hingga kini.

Menurutnya, selain itu, kelulusan program baru, pentauliahan semula penyedia latihan dan pelbagai hal berkaitan PTPK tidak dapat diputuskan segera.

“Kesan masalah ini bukan sahaja menjejaskan operasi PTPK dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) tetapi juga proses pembiayaan pelatih kemahiran berkaitan turut terjejas. Banyak urusan berkaitan memerlukan kelulusan ahli lembaga pengarah PTPK.

“Kelewatan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan isu TVET sedang hangat diperkatakan, seolah-olah kerajaan terlepas pandang kesan besar yang bakal berlaku jika pelantikan ini tidak disegerakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN