Kos pembelian kanvas RM261,250 lindungi padang Stadium Nasional

Kos pembelian kanvas RM261,250 lindungi padang Stadium Nasional

PERANCANGAN perolehan pembelian VAR.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: kos pembelian kanvas bagi melindungi padang di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika Kejohanan Piala AFF baru-baru ini adalah berjumlah RM261,250.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kanvas tersebut digunakan pada Perlawanan Piala Mitsubishi Electric Cup 2023 (Malaysia vs Singapura) di Stadium Nasional pada 3 Januari lalu.

Menurut beliau, sebelum pembelian dibuat, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) meminjam kanvas daripada pihak Johor Darul Takzim (JDT) melalui kerjasama Stadium Larkin, Johor bagi meneruskan tiga perlawanan bola sepak.

Ia melibatkan perlawanan akhir Piala FA 2022 pada 10 September 2022 (JDT vs Terengganu); perlawanan akhir Piala Malaysia 2022, pada 26 November 2022 (JDT vs Selangor); dan Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022, 24 Disember 2022 (Malaysia vs Laos).

“PSM perlu meminjam kanvas daripada pihak Stadium Larkin disebabkan padang Stadium Nasional ditutup bermula 15 Jun 2022 untuk penganjuran acara sukan seperti bola sepak bagi kerja-kerja naik taraf dan penggantian rumput.

“Namun atas dasar kepentingan negara, PSM membenarkan penganjuran perlawanan-perlawanan bola sepak peringkat nasional dan juga antarabangsa, dengan syarat kondisi padang sedia ada mendapat persetujuan dari pihak penganjur serta pasukan bola sepak yang terlibat,” katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang mahu tahu kos pembelian kanvas bagi melindungi padang ketika Kejohanan Piala AFF baru-baru ini dan mengapakah PSM terpaksa meminjam kanvas ini daripada pihak ketiga.

Sedangkan katanya, tanggungjawab menyelenggaraan padang dan semua kemudahan sukan di Kuala Lumpur Sports City digalas oleh PSM.

Dalam pada itu, Hannah berkata, perancangan perolehan berkenaan pembelian kanvas adalah termasuk di dalam projek penukaran padang Stadium Nasional yang dijadualkan bermula pada 1 April ini.

Walau bagaimanapun, katanya, di bawah pentadbiran kerajaan baharu, pembelian kanvas dipercepatkan demi menjaga imej Kerajaan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan dan Perbadanan Stadium Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya