Kita beri bantuan kecil sahaja kepada Turkiye – PM

Kita beri bantuan kecil sahaja kepada Turkiye – PM

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan anggota pasukan penyelamat misi bantuan kemanusiaan dan bencana di Turkiye, bulan lalu dalam majlis makan tengah hari sempena pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2023 di bangunan Parlimen, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jasa baik Turkiye membantu Malaysia sehingga mencecah ratusan juta untuk menyelamatkan syarikat tempatan sebelum ini membuatkan negara ini mahu membalas sumbangan yang diberikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, atas dasar itulah mengapa Malaysia membalasnya dengan menghantar bantuan ketika negara itu dilanda bencana gempa bumi.

“Ada yang kritik saya, kenapa bagi banyak sangat dekat Turkiye. Sebenarnya tidak ba­nyak kita bagi, kecil sahaja.

“Semasa kita ada masalah Covid-19 dan ekonomi, ba­nyak pelabur kita di Turkiye dan pada masa itu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bantu kita cecah ratusan juta untuk menyelamatkan syarikat kita.

“Jadi persahabatan antara kita, tentu saya sebagai sahabat peribadi dengan Erdogan, bila dalam susah kita ringankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2023 dan Jamuan Makan Tengah Hari Perdana Menteri bersama pa­sukan penyelamat misi bantuan kemanusiaan dan bencana Malaysia ke Turkiye, di Parlimen semalam.

Dalam pada itu, Anwar me­nyi­fatkan persiapan negara membabitkan jentera perkhidmatan awam dalam berhadapan bencana banjir khususnya di Johor berada pada tahap baik.

Katanya, jentera yang terbabit dalam pengurusan banjir sudah bersiap sedia sebelum bencana melanda minggu lalu selain jentera penyelamat juga dilihat sangat efisien meringankan masalah rakyat.

“Perkhidmatan kita membabitkan tentera, polis, angkatan pertahanan awam, bomba dan yang lain terpaksa berkhidmat bukan sahaja di Turkiye tetapi juga mangsa banjir di Johor.

“Saya sampai Johor pada hari minggu sebab saya batalkan jadual lain di sini dan saya lihat persiapan baik di mana jentera siap sebelum banjir. Ia diselaras dengan baik.

“Jadi saya selaku yang ditugaskan sebagai Perdana Menteri sangat bertuah dan bernasib baik kerana jentera kita begitu efisien meredakan dan meringankan masalah dihadapi rakyat,” katanya.

Setakat pagi semalam, jumlah mangsa banjir di Johor te­rus berkurangan kepada 39,620 orang daripada 10,862 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 40,129 orang daripada 11,210 keluarga pada 8 malam kelmarin.

Semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas banjir.

Selain itu, katanya, penjawat awam mampu menyajikan pres­tasi lebih cemerlang jika diberi galakan dan pengiktirafan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN