Kesihatan, pendidikan keutamaan kerajaan – Anwar

Kesihatan, pendidikan keutamaan kerajaan – Anwar

Anwar Ibrahim diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim melakukan lawatan ke stesen Putrajaya Sentral selepas merasmikan pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bidang kesihatan dan pendidikan menjadi dua keutamaan kerajaan pada masa kini ekoran kekangan kewangan negara yang berdepan defisit dan jumlah hutang yang banyak.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Belanjawan 2023 memfokuskan kedua-dua keperluan itu dengan memberikan peruntukkan lebih banyak untuk menyelesaikan masalah asas terlebih dahulu.

Namun kata beliau, tindakan itu bukan bermakna bidang lain tidak diberikan keutamaan sebaliknya kerajaan mahu memfokuskan asas rakyat khususnya membabitkan prasarana sekolah dan klinik.

“Saya imbas sedikit tentang belanjawan negara, tahun ini kita tumpu sekolah dan kesihatan, apabila kekangan kewangan itu dengan hutang begitu banyak dan defisit, itu kita tidak boleh masalah dalam masa singkat.

“Jadi untuk tahun ini kita ambil langkah-langkah sangat tegas dan berani, belanja lebih tinggi untuk menyelesaikan masalah asas prasarana sekolah dan klinik kesihatan, perubatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang dekat sini, semalam.

Sementara itu, Anwar berkata, proses tender termasuk projek penyelenggaraan pe­ngangkutan awam diberikan kepada syarikat yang bukan sahaja dinilai berdasarkan kepada rekod keupayaan dan kemampuan masing-masing, tetapi dilakukan secara teliti.

Beliau menjelaskan, proses tender projek itu harus dilakukan secara telus dengan pihak terlibat tidak nama ketika proses perolehan dilakukan bagi mengelakkan ketirisan duit rakyat dan akhirnya dapat menjimatkan dana awam.

Katanya, jika perkara itu dapat dilaksanakan, ia menyebabkan kos projek termasuk pe­ngangkutan awam menjadi lebih kompetitif apatah lagi nilainya yang menelan kos berbilion Ringgit.

“Pada mesyuarat saya hadir semalam (Rabu) dengan jawatankuasa tender yang membuat keputusan mengenai projek-projek besar, saya memberitahu mereka bahawa nama syarikat itu tidak perlu diketahui, hanya sebut syarikat A, B, C.

“Jika diurus dengan tidak terurus, ratusan juta akan bocor ke parti lain, akaun perseorangan yang menyebabkan negara mengalami ketirisan. Malah jika projek dijalankan telus, kita boleh memanfaat pelbagai dana untuk projek lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN