Kes pinda laporan audit 1MDB: Shafee harap pihak pendakwaan tidak merayu 

Kes pinda laporan audit 1MDB: Shafee harap pihak pendakwaan tidak merayu 

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka hari ini menjadi permulaan bagi semua perkara yang baik pada masa akan datang. 

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB. 

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya berharap Pejabat Peguam Negara tidak akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan kerana dapatan Mahkamah Tinggi sudah sesuai sepenuhnya (completely suitable). 

Justeru, katanya, anak guamnya mahu memberitahu semua pihak yang beliau bersyukur di atas keputusan itu selain keyakinannya untuk menang tidak terhad kepada kes pada hari ini. 

“Ia menaikkan semangat serta keinginan untuk terus melawan dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. Saya selalu yakin bukan sahaja di dalam kes ini, tetapi, bagi kes-kes lain seperti SRC yang mana kita juga berjuang sehabis-habisnya. 

“Saya juga yakin dalam kes SRC, kita akan dapat menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah sekiranya Mahkamah Persekutuan mendengar semula perbicaraan itu,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini. 

Arul Kanda Kandasamy

Sementara itu, Arul Kanda pula turut menzahirkan perasaan sama dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokongnya. 

Ditanya mengenai perancangan beliau selepas ini, beliau berseloroh berkata: “Langkah seterusnya adalah untuk  mengemas kini curriculum vitae (CV).”

Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Najib Arul Kanda daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1MDB bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi beliau daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mewakili pendakwaan manakala peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Tahun lalu, Arul Kanda menjadi saksi dalam kes itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 7 September 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN