‘Liku-Likoo’, bawa konsep makanan sihat, ringkas

‘Liku-Likoo’, bawa konsep makanan sihat, ringkas

‘Liku-Likoo’, bawa konsep makanan sihat, ringkas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di celah-celah bangunan lama sekitar Masjid Jamek, terselit sebuah kafe kecil, Liku-Likoo Lekiu yang menjadi persinggahan ringkas dengan sentuhan tersendiri pada setiap hidangannya.

Tampil dengan konsep antik dan ‘rustic’, Liku-Likoo menyajikan sajian homemade daripada pembuatan sosej, perapan makanan sehingga minuman kombucha dan biji kopi yang disangrai sendiri.

Mengambil inspirasi daripada liku-liku kehidupan dan pengalaman dalam bidang peniagaan makanan dan minuman, Liku-Likoo Lekiu merupakan cawangan kedua dari Mingle Group selepas cawangan pertamanya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

NASI ULAM KEDAH SAJIAN TARIKAN MAKAN TENGAH HARI

Bagi pengunjung yang mencari sajian nasi di kafe moden, Liku-Likoo menyediakan menu Nasi Ulam, dihidangkan bersama ayam atau daging panggang yang diperap dengan resipi asal dari Kedah, bersama ulam-ulaman yang menyeimbangkan hidangan tersebut.

Ketua tukang masak dan pengurus kualiti Liku-Likoo, Muhamad Nur Amin Shaharuddin, 30, berkata, setiap hidangan yang diproses sendiri selaras dengan gaya pemakanan eat-clean yang menjadi identiti mereka.

“Konsep makanan di sini lebih kepada bar food yang lebih sihat dan senang dimakan, tidak terlalu berat dan bukan sekadar kudapan kecil, sesuai untuk santai bersama rakan atau keluarga.

“Selain nasi, Liku-Likoo turut menampilkan ban sosej buatan sendiri yang menjadi comfort food paling popular di sini.

“Setiap ban datang bersama pilihan kuah seperti rendang, sambal lemak atau pomodoro, disesuaikan dengan cita rasa tempatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Bagi pencinta kopi, Liku-Likoo mempunyai koleksi biji kopi yang disangrai sendiri dengan nama unik seperti One Night in Chow Kit, Your Bipolar Boss dan Forgive Your Ex.

“Kami mahu setiap biji kopi membawa cerita tersendiri kepada pelanggan, bukan sekadar aroma dan rasa,” katanya.

Tambahnya, Liku-Likoo juga menyajikan minuman Kombucha iaitu teh dan gula yang ditapai sendiri sejak 2018, daripada proses fermentasi, pemprosesan hingga pembungkusan.

“Kami pilih kombucha sebagai alternatif minuman sihat, sesuai untuk mereka yang mencari sesuatu berbeza selain kopi atau susu,” katanya.

BANGUNAN, PERABOT LAMA BERI EFEK UNIK

Bangunan yang asalnya milik Persatuan Hokkien ini sudah berusia hampir seabad, namun struktur asal kekal terpelihara sebagai sebahagian daripada warisan tempatan.

Perabot di kafe ini dihasilkan daripada bahan terpakai, termasuk almari lama, pintu kayu dan rak-rak lama, memberi suasana unik dan mesra alam kepada pengunjung.

Menurut Amin, konsep ‘rustik’ yang ditampilkan bukan sekadar hiasan, tetapi sebahagian daripada identiti kafe yang mahu mengekalkan nilai sejarah sambil memberi sentuhan moden.

“Setiap sudut kafe diolah secara kreatif bagi memaksimumkan ruang, sambil mengekalkan karakter lama bangunan yang menjadi tarikan visual kepada pelanggan.

“Namun cabarannya adalah meyakinkan pelanggan bahawa bangunan lama yang nampak ‘belum siap’ dari luar tetap selamat dan selesa untuk dikunjungi.

Cabaran lain bagi kafe ini adalah memastikan konsistensi rasa walaupun permintaan tinggi, terutamanya pada waktu makan tengah hari dan hujung minggu.

Bagi Amin, Liku-Likoo bukan sekadar tempat makan, tetapi pengalaman menyeluruh dari konsep, menu, minuman hingga suasana yang berbeza daripada kafe biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×