HANOI: Ribut tropika Koto meragut tiga nyawa dan menyebabkan seorang lagi hilang ketika menghampiri Vietnam ketika angin kencang dan ombak besar membadai kapal-kapal di pesisir tengah negara yang masih bergelut dengan banjir itu.
Hujan lebat melanda kawasan tengah Vietnam dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menenggelamkan tapak bersejarah serta destinasi pelancongan popular selain menyebabkan kerugian ratusan juta dolar.
Pihak berkuasa mengarahkan semua bot kembali ke darat dan mengalihkan puluhan penerbangan ketika Ribut Tropika Koto membawa ombak besar dan angin berbahaya, lapor media kerajaan.
Dua kapal karam akibat laut bergelora melibatkan sebuah bot nelayan di wilayah Khanh Hoa dan sebuah rakit kecil di Lam Dong menurut kementerian alam sekitar.
Koto berada lebih 300 kilometer dari pesisir pada pagi Ahad, setelah diturunkan status daripada taufan kepada ribut tropika.
Biro cuaca Vietnam berkata, ribut itu bergerak perlahan dan dijangka semakin lemah sebelum melanda pesisir pada minggu depan.
Ramalan menunjukkan hujan sehingga 150 milimeter pada Selasa dan Rabu dari Hue hingga Khanh Hoa, kawasan yang baru sahaja pulih daripada banjir besar.
Vietnam berada dalam kawasan siklon tropika paling aktif di dunia dan biasanya mengalami sekitar 10 taufan atau ribut setahun, namun Koto adalah ribut ke-15 pada tahun 2025.
Bencana alam mengorbankan lebih 400 orang atau menyebabkan mereka hilang di Vietnam tahun ini, mengakibatkan kerosakan melebihi AS$3 billion (RM12.4 billion), menurut pejabat statistik negara itu.
Negara Asia Tenggara itu biasanya mengalami hujan lebat antara Jun dan September, namun para saintis mengenal pasti perubahan iklim akibat manusia sebagai punca peningkatan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan merosakkan.-AFP










