Kereta anggota polis halang lalu lintas dikenakan saman - Utusan Malaysia

Kereta anggota polis halang lalu lintas dikenakan saman

GAMBAR tular kereta Proton Saga dengan vest polis diletakkan di papan pemuka yang didakwa menghalang lalu lintas di Persiaran Brash di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengesahkan pemandu dan pemilik kereta mengandungi ‘vest polis’ yang tular kerana menghalang lalu lintas di Persiaran Brash di sini baru-baru ini, telah dikenakan tindakan saman.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku Sabtu lalu pukul 6.29 petang di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo.

Katanya, berdasarkan semakan, kereta jenis Proton Saga berwarna hitam itu adalah milik pegawai rendah polis yang bertugas di Batu Gajah.

“Ketika kejadian, kereta itu dipandu oleh saudara anggota tersebut dan semakan juga mendapati, vest polis yang berada di papan pemuka kenderaan merupakan milik penjawat awam itu.

“Sehubungan itu, pemandu kenderaan telah dikenakan saman di bawah Kaedah Lalu Lintas 16(1) LN 166/59 kerana membuat halangan lalu lintas dan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah.

“Pemilik kereta juga disaman mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana membenarkan seseorang memandu kenderaan tanpa lesen,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, kes itu juga dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Perak untuk siasatan dari sudut tatatertib terhadap pegawai rendah polis berkenaan.

Tegasnya, pihak polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Pada masa sama, kita juga ingin memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau mengeluarkan komen tidak bertanggungjawab sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial gambar memaparkan sebuah kereta Proton Saga yang diparkir berlapis sehingga menghalang lalu lintas.

Gambar itu mendapat reaksi pelbagai warga maya yang mengecam pemilik kereta tambahan lagi selepas melihat ‘vest polis’ berada di papan pemuka kenderaan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya