ALOR SETAR: Kerajaan perlu mengambil langkah drastik memecah ‘monopoli’ perkhidmatan feri Pulau Langkawi dengan memudahkan lebih banyak syarikat menawarkan servis mereka seperti perkhidmatan bas ekspres.
Ini berikutan langkah beberapa syarikat pengendali feri yang membentuk konsortium ketika ini dilihat tidak memberi kelebihan atau keselesaan kepada rakyat terutama pengguna yang sering berulang-alik ke pulau pelancongan itu.
Orang ramai khususnya penduduk tempatan di sana seperti tiada pilihan apabila terpaksa mengikut apa jua syarat dan langkah ditetapkan konsortium terbabit terutamanya melibatkan harga tiket dan jadual pelayaran feri walaupun bergantung air pasang surut.
Difahamkan, meskipun tiada halangan untuk mana-mana syarikat lain menyediakan perkhidmatan feri penumpang tanpa menyertai konsortium terbabit, namun mereka dikatakan agak sukar untuk beroperasi di Pulau Langkawi.
“Pernah sebelum ini ada sebuah syarikat feri yang tidak menyertai konsortium terbabit mengendalikan feri secara berasingan tetapi tidak dapat bertahan lama. Tak sampai dua tahun beroperasi.
“Agak pelik kerana dalam sejarah feri Langkawi sejak berpuluh tahun lalu tidak pernah ada insiden feri terbakar ketika sedang bawa penumpang seperti dialami salah sebuah feri syarikat itu pada 2019 yang sebenarnya menimbulkan pelbagai keraguan.
“Malah, kita khuatir sekiranya ada pihak yang bersikap sambil lewa terhadap pemantauan operasi konsortium terbabit kerana feri yang disediakan mereka ketika ini pun hanya seperti cukup syarat yang merisikokan penumpang,” kata satu sumber industri itu kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, walaupun syarikat berkenaan ketika beroperasi dahulu tidak menyediakan trip perjalanan sekerap konsortium terbabit, namun mereka secara tidak langsung memberi persaingan sihat serta pilihan kepada pengguna.
“Apa yang menarik ketika syarikat itu beroperasi dahulu, seandainya penumpang terlepas feri, tiket masih boleh digunakan hanya dengan membayar sedikit denda iaitu RM3 untuk kanak-kanak dan RM5 dewasa.
“Berbeza dengan sekarang, sesiapa terlepas feri memang perlu beli tiket baharu, perkara ini menambah beban pengguna terutama yang berpendapatan rendah untuk ke tanah besar sama ada berurusan di hospital dan sebagainya,” katanya.
Katanya, insiden-insiden serta rungutan penumpang mengenai mutu perkhidmatan feri di Pulau Langkawi selama ini sudah cukup untuk membuka mata pihak bertanggungjawab bagi melakukan sesuatu terhadap nadi pengangkutan utama ke pulau pelancongan itu.
Tegasnya, kenaikan harga tiket yang tidak diiringi dengan peningkatan mutu perkhidmatan juga tetap perlu dihadapi pengguna selama ini kerana mereka tiada pilihan lain untuk berulang-alik ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis.
“Ada feri yang bunyi enjinnya lebih kuat berbanding suara televisyen dipasang mereka dalam kabin, ada juga feri yang bergegar teruk dan isu paling kerap adalah pendingin udara tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah kerajaan yang bakal menamatkan monopoli beberapa perkhidmatan utama di negara ini perlu disusuli dengan perkhidmatan feri Langkawi.
“Kita harap Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Laut melihat semula isu feri Pulau Langkawi ini, memang kebelakangan ini trip perjalanan semakin bertambah tetapi ia masih dikawal satu pihak.
“Apabila ada banyak syarikat yang boleh tawar perkhidmatan serupa, akan ada kepelbagaian harga dan kemudahan disediakan yang sudah tentu pada akhirnya memberi pilihan kepada pengguna yang bukan sahaja ke Langkawi untuk bercuti tetapi bekerja,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mohamad Yusrizal, kerajaan perlu bijak membuka peluang kepada syarikat lain untuk menceburi sesuatu bidang yang sudah lama dimonopoli satu pihak sehingga membebankan pengguna.
“Perkara biasa apabila ada orang baharu masuk ke dalam perniagaan yang selama ini dikuasai satu pihak maka akan ada unsur buli, ugutan dan sebagainya. Di sini perlunya peranan kerajaan mempermudah proses mereka agar kesannya nanti dirasai rakyat,” katanya. – UTUSAN










