MELAKA: Sebanyak 60 tapak Bazar Ramadan telah diluluskan di seluruh Melaka oleh empat pihak berkuasa tempatan (PBT) tahun ini.
Kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mencatatkan jumlah tertinggi dengan 27 tapak, diikuti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 13 tapak, seterusnya Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) masing-masing 10 tapak.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron memaklumkan, pada tahun ini pihaknya menggalakkan para peniaga dan pelanggan melakukan transaksi jual beli secara dalam talian menggunakan e-dompet (e-wallet).
Katanya, kaedah itu dilihat dapat mengurangkan kesesakan di samping menjimatkan masa, tanpa perlu menunggu untuk pemulangan baki dan sebagainya.
“Antara lokasi bazar Ramadan di kawasan MPHTJ adalah di tapak parkir Masjid Al Alami MITC Ayer Keroh, tapak parkir Pangsapuri Ixora Bukit Beruang, hadapan Taman Batu Berendam Putra dan Pekan Durian Tunggal,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, untuk tahun ini terdapat dua penambahan lokasi bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya iaitu di Hotel Temasek dan Tapak Pasar Malam Seri Duyong.
Ujarnya, penganjur diminta untuk mengamalkan 3K iaitu sentiasa mengambil berat isu keselamatan, kebersihan dan kesihatan bagi keselesaan pengunjung.
“Kita harapkan penganjur dapat mengikut arahan yang ditetapkan oleh PBT,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohd. Nalif berkata, lokasi bazar Ramadan di sekitar Jasin adalah di Bandar Baru Merlimau, Bandar Baru Jasin, tapak letak kereta Stadium Jasin, Tapak Pasar Malam Nyalas dan Pekan Selandar.
“Lokasi lain adalah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai arah selatan, Taman Bukit Serkam, hadapan Medan Selera Merlimau Point dan Tapak Pasar Malam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin,” katanya. – UTUSAN










