Keputusan permohonan laporan forensik WhatsApp Guan Eng 5 April

Kes rasuah Guan Eng: Keputusan permohonan laporan forensik WhatsApp 5 April

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pendakwaan menghujahkan, laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan berhubung wang RM2 juta, tiada kaitan dengan perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng yang sedang didengar di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pihaknya tidak berhasrat mengemukakan atau menggunakan dokumen itu pada perbicaraan kes terowong dasar laut yang sedang dihadapi oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berhujah, dokumen-dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Hujahnya, laporan forensik itu juga tidak pernah dikemukakan sebagai keterangan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan telah dikategorikan sebagai dokumen rahsia.

Sehubungan itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, permohonan pihak pembelaan merupakan tindakan untuk memancing maklumat walhal mereka gagal membuktikan dokumen itu relevan atau sangat diperlukan pada perbicaraan.

Laporan forensik itu mengandungi perbualan WhatsApp antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja yang didedahkan melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Wan Shaharuddin selanjutnya menghujahkan, laporan itu tidak relevan kerana Gnanaraja masih belum memberi keterangan manakala Zarul Ahmad masih belum selesai disoal balas.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 5 April ini untuk memutuskan permohonan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN