Kemuka penyata palsu, lelaki OKU dipenjara 30 hari

Kemuka penyata palsu, lelaki OKU dipenjara 30 hari

J. VASANTHA Kumaran dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam bagi didakwa atas pertuduhan mengemukakan penyata pendapatan palsu untuk permohonan EPC. – FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas penyelia keselamatan tapak binaan dihukum penjara 30 hari dan didenda sebanyak RM24,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengemukakan penyata pendapatan palsu untuk permohonan Elaun Pekerja Cacat (EPC) pada 2019.

Tertuduh, J. Vasantha Kuma­ran, 39, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim, Rus­han Lutfi Mohamed.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda boleh dipenjara lima bulan.

Mengikut pertuduhan, tertu­duh didakwa mengemukakan penyata pendapatan bulanan palsu kepada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi permohonan bantuan kewangan EPC sebanyak RM4,800 untuk tempoh bulan Disember 2019 sehingga November 2020.

Tertuduh mempunyai kepen­tingan mengenainya dan me­ngandungi butir matan palsu iaitu telah mengemukakan penyata pendapatan bulanan palsu pada pengetahuan tertuduh adalah dimaksudkan bagi mengelirukan prinsipalnya.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Seremban, di sini pada 7 Oktober 2019.

Sehubungan itu, tertuduh te­lah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertu­duh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman denda pa­ling minimum kerana dia satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga iaitu menanggung seorang anak, ibu dan adik selain mempunyai masalah tangan dan kaki.

Dalam pada itu, tertuduh turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas satu la­gi pertuduhan menggunakan lima dokumen palsu untuk me­mohon pekerja untuk jawatan penyelia keselamatan tapak bi­naan di sebuah syarikat pada 2018. Jika gagal bayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.

Berdasarkan pertuduhan, Vasantha Kumaran didakwa dengan curangnya menggunakan lima dokumen sebagai tulen atas namanya bagi sokongan kepada suatu permohonan pendaftaran Orang Yang Kompetem (OYK) Penyelia Keselamatan Tapak Bina bertarikh 28 Ogos 2018.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen yang digunakan tersebut adalah palsu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN