Kementerian Pendidikan kaji semula keperluan pendidikan khas untuk Sindrom Down - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan kaji semula keperluan pendidikan khas untuk Sindrom Down

FADHLINA Sidek menyaksikan gelagat murid ketika sesi perhimpunan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu (L). - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji dan melihat cadangan keperluan mengubah kurikulum pendidikan untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) terutama anak-anak Sindrom Down bagi memastikan mereka juga mampu berdaya saing selepas tamat persekolahan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM menyambut baik pandangan-pandangan yang diutarakan dan pada masa sama kementerian tersebut akan sentiasa mendengar dan berbincang dengan semua pihak.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi memastikan sistem pendidikan negara memenuhi setiap aspek yang diperlukan bagi setiap pelajar mahupun keadaan semasa.

“Dari semasa ke semasa KPM akan buat sesi libat urus untuk memastikan kurikulum kita setara dengan keperluan kanak-kanak dan semasa. Ia juga bagi mengambil kira kitaran ansur maju pelajar-pelajar ini.

“Maknanya, soal mengubah atau meminda kurikulum ini, ia ada kepakarannya yang ada di KPM. Saya fikir penting untuk saya kongsikan bahawa sesi libat urus akan sentiasa dijalankan untuk pastikan input-input kita dapat dari semua pemegang taruh,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 40,000 kanak-kanak sindrom down di negara ini tidak mendapat pendidikan khusus menyebabkan ramai dalam kalangan anak istimewa itu mengalami kemurungan.

Malah, senario sama turut dialami sekian lama oleh golongan ibu bapa dalam usaha mendapatkan sistem pembelajaran yang bersesuaian dengan kemampuan golongan Sindrom Down mahupun OKU lain.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, program diadakan hasil kerjasama Yayasan Petronas bersama Yayasan Didik Negara itu harus terus didukung dan dijadikan sebagai ekosistem yang penting dalam sistem pendidikan negara.

“Kita sangat raikan sokongan dan dukungan seperti ini khususnya daripada korporat yang sentiasa mendukung program-program berkait rapat dengan bantuan-bantuan untuk ke sekolah.

“Hari ini kita barangkali menggembirakan satu segmen iaitu anak-anak murid kita khususnya yang berkeperluan khas. Kita ingin pastikan tiada anak-anak terpinggir daripada mendapat sokongan dan bantuan,” katanya.

Melalui program tersebut, Yayasan Petronas menyumbang pakaian seragam dan peralatan sekolah kepada 21,000 murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya