KUALA LUMPUR: Seorang bekas kakitangan sebuah bank yang didakwa atas 80 kes jenayah membabitkan 155 jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta bulan lalu, dituduh pula hari ini atas tiga pertuduhan melibatkan dokumen palsu, pada 2019 dan 2021 lalu.
Mohd. Saibulrijal Mohd. Saad, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu dituduh menggunakan dua dokumen ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’ dan satu ‘Letter of Indemnity’ sebagai tulen sedangkan tertuduh mengetahui ia palsu.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Brickfields di sini pada 15 Oktober 2019 dan 13 Januari 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norfauzani Mohd. Nordin mencadangkan mahkamah mengguna pakai kadar ikat jamin yang diberikan dalam prosiding kes lalu. Peguam Shahrulazwad Ismail yang mewakili tertuduh, tidak membantah cadangan pihak pendakwaan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pada 27 Mac lalu, lelaki bujang itu didakwa atas 80 pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, memalsukan dokumen dan menipu kakitangannya membabitkan 155 jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta, antara 2019 dan 2021.
Bagi 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, dia dituduh telah menggunakan dokumen tulen iaitu ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’.
Mengikut 26 pertuduhan menipu, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap beberapa pegawai bank yang sama.
Dia dituduh memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa beberapa pelanggan mahu mengeluarkan dan membeli jongkong emas pelbagai berat menggunakan borang ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’ yang dikatakan ditandatangani pelanggan.
Bagi tujuh pertuduhan salah guna harta, lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna putih, didakwa melakukan kesalahan berkenaan melibatkan jongkong emas kepunyaan empat wanita. Bagi satu lagi pertuduhan pecah amanah, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menyalah gunakan harta iaitu dua jongkong emas kepunyaan seorang wanita bergelar Datin, berusia 75 tahun.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di bank sama, antara 15 Oktober 2019 dan 24 Ogos 2021.
Dalam pada itu, semasa prosiding, Norfauzani memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh daripada tiga daripada 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, kerana kesilapan teknikal.
Azrul membenarkan perkara tersebut selepas pihak pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan berkenaan. Bagaimanapun, selepas dia dituduh semula atas tiga pertuduhan baharu, jumlah keseluruhan kekal menjadi 80 kes. – UTUSAN









