KUALA TERENGGANU: Keluasan tanah sawah yang terletak di luar kawasan ‘Jelapang Padi’ di negeri ini didakwa semakin susut apabila dibangunkan dengan projek komersial dan perumahan sejak beberapa tahun lalu.
Keadaan tersebut berlaku apabila pemilik tanam sawah bertindak menjual tanah mereka setelah jualan hasil padi tidak ‘berbaloi’ apabila kos menanam padi semakin tinggi dan membebankan berikutan kenaikan harga baja serta racun.
Seorang pemilik tanah sawah padi di Manir dekat sini, Alias Ismail, 63, berkata, dia berhasrat menjual tanah sawah miliknya seluas 0.45 hektar yang diusahakan sejak 30 tahun kerana hasil padi yang ditanam setahun sekali itu tidak menguntungkan.
Menurutnya, kos penanaman padi semakin melambung apabila harga baja dan racun meningkat lebih sekali ganda pada setiap tahun, manakala hasil padi yang dituai pula tidak seberapa.
Pada masa sama, katanya, seramai tiga orang anaknya yang telah bekerja juga tidak berminat untuk mengusahakan sawah tersebut.
“Saya telah mengiklankan tanah sawah yang ingin saya jual di media sosial sejak sebulan dan beberapa individu berminat membeli tanah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Seorang lagi pemilik tanah sawah, Abdul Kadir Yusoff, 55, dari Bukit Payung, Marang, pula berkata, dia telah menjual tanah sawah miliknya seluas 0.5 hektar setelah tidak diusahakan dan berada dalam keadaan terbiar sejak tiga tahun lalu.
“Saya tiada semangat mengusahakan tanaman padi selepas pendapatan yang diperoleh tidak berbaloi dengan tenaga dan masa yang digunakan untuk menanam padi.
“Kebiasaannya saya memperoleh pendapatan tidak sampai RM1,000 sahaja selepas tolak kos membeli benih padi, baja dan racun serta upah membajak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri
Terengganu mengetatkan kelulusan permohonan tukar syarat tanah sawah padi sejak tahun 2018 bagi mengekalkan kawasan yang aktif tanaman padi.
Menurutnya, langkah tersebut juga diambil bertujuan meningkatkan hasil padi selain beberapa strategi dan inisiatif lain yang dilakukan. – UTUSAN










