Kapasiti tong sampah berpusat di Perlis mencukupi - Utusan Malaysia

Kapasiti tong sampah berpusat di Perlis mencukupi

FAKHRUL Anwar Ismail (kiri) berbual bersama Gan Ay Ling (kanan) sewaktu sesi rehat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kapasiti dan jumlah bilangan tong sampah yang ditempatkan di tapak-tapak berpusat di negeri ini mencukupi bagi menampung janaan sisa buangan penduduk kampung yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

Bagaimanapun, tindakan daripada sebilangan premis perniagaan, gerai penjaja dan penduduk kawasan lain yang membuang sampah di tong-tong berpusat ini telah menyebabkan berlakunya limpahan sisa buangan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, selain itu, sikap penyelongkar sampah (scavangers) dan bahan buangan yang tidak sepatutnya diletakkan di tong sampah berpusat itu telah menyebabkan keadaannya menjadi tidak terurus.

“Bagi mengatasi masalah ini, pemantauan dan kaedah kutipan telah diperbaiki dengan meningkatkan frekuensi kutipan dan penggunaan jentera yang bersesuaian bagi mengaut sampah berlebihan di tempat-tempat tong sampah berpusat.

“Selain itu, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim Bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian – CII) 2018 sedang dilaksanakan secara berperingkat di negeri ini bagi mengurangkan janaan sampah daripada skim terlibat,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Fakhrul Anwar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Datin Marzita Mansor (PN-Sena) berhubung sama ada kerajaan negeri mempunyai dasar yang jelas dalam kerja-kerja pengumpulan dan pembersihan sampah secara terancang di samping pengunaan tong-tong sampah di tempat pengumpulan mengikut kapasiti penduduk.

Dalam pada itu, Fakhrul Anwar berkata, Perlis terikat dengan penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di mana kuasa eksekutif mengenai pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam telah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

“Proses penyerahan kawasan untuk diberikan perkhidmatan pembersihan kawasan adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta 672 tersebut serta perlu melalui beberapa peringkat proses pertimbangan dan proses oleh pihak Persekutuan.

“Walaupun Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah memberikan kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, namun kami sentiasa memantau rapi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini berdasarkan kepada obligasi yang dinyatakan dalam Perjanjian Tiga Pihak (Tripartite Agreement),” katanya.

Di samping itu, Fakhrul Anwar berkata, penyediaan pusat-pusat tong sampah di seluruh negeri ini termasuklah Perlis Go Clean adalah sebagai inisiatif tambahan dan dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Tambahnya, agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025 merupakan polisi utama kerajaan negeri bagi memastikan negeri ini bersih serta rakyat sihat.

“Usaha ini dilaksanakan melalui berbagai pendekatan ke arah peningkatan kesedaran masyarakat di negeri Perlis yang lebih bersih dan sihat pada era pasca pandemik Covid-19,” katanya.

-Habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya