Kakitangan awam turut mempunyai ‘kelebihan’ sama

Kakitangan awam turut mempunyai ‘kelebihan’ sama dengan pihak luar

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Kecekapan dan kemampuan kakitangan awam dalam mengendali tugas-tugas besar membabitkan hal ehwal negara bakal dibuktikan dengan keputusan kerajaan yang enggan mengambil perunding luar memandangkan turut mempunyai kelebihan sama.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya menyambut baik penegasan kerajaan untuk berhenti menggunakan perunding luar kerana ia merupakan tanda kepercayaan kepada kakitangan awam.

Menurut beliau, di dalam sektor perkhidmatan awam juga turu mempunyai kebolehan dan kepakaran untuk memberi khidmat kepada jabatan tertentu melalui kapasiti jawatan disandang.

“Jika kita tengok juru perunding di luar sana sekali pun, ianya tetap mempunyai tahap kelayakan yang sama seperti mana penjawat awam peroleh. Jadi tidak ada beza dan maknanya skim perkhidmatan itu sudah wujud di dalam kerajaan lalu tidak perlu kerajaan mengambil perkhidmatan di luar sedangkan sudah melantik penjawat awam atas kelulusan dan kepakaran sama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kakitangan awam negara ini cekap dan mampu menguruskan tugas-tugas besar membabitkan hal ehwal negara tanpa perlu bergantung kepada perunding luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan pengalaman lapan tahun di Kementerian Kewangan sebelum ini, beliau menyaksikan sendiri kecekapan pegawai-pegawai kerajaan yang memimpin dan mengemudi projek besar dengan berjaya.

Oleh itu kata Anwar, pentadbiran sekarang akan memberi kepercayaan dan mengembalikan semula tugas besar sedemikian kepada barisan penjawat awam.

Dalam perkembangan lain, Adnan ditemui ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti e Asia (AeU) di Wisma Subang Jaya, di sini.

Adnan berkata, MoU tersebut bakal membolehkan sebanyak 1.62 juta penjawat awam melanjutkan pelajaran mereka dan menyimbangkan dengan tahap pendidikan pihak luar.

“Pada hari ini, ramai yang berada di peringkat diploma dan ijazah tetapi oleh kerana syarat kelayakan masih terletak di Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Maka, sebahagian daripada kami masuk ke kerja dengan kelulusan tersebut.

“Pada masa sama, kita terpaksa memberi khidmat kepada pelanggan di luar yang rata-ratanya mempunyai ijazah. Kami penjawat awam pula SPM dan nak serve orang pandai. Sebab itu dikatakan masyarakat di luar lebih tahu tentang perkhidmatan awam sebab mereka berpengetahuan,” katanya.

Tambahnya, oleh kerana itu juga skim gaji penjawat awam masih dibawah paras kemiskinan iaitu gaji minima masih RM1,200 yang dilihat tidak sesuai dengan peningkatan kos sara hidup pada ketika ini.

“Dengan adanya program bersama ini, maknanya kami boleh beri ruang kepada ahli untuk meningkatkan pensijilan dimiliki dan secara langsung menjadikan mereka turut bijak seperti mana pengguna di luar.

“Dengan itu juga, perjuangan kami untuk meningkatkan gaji akan menjadi lebih mudah sebab penjawat awam dibayar berdasarkan tahap kelayakan dimiliki. Kadar upah akan menjadi lebih tinggi berdasarkan tahap pembelajaran yang tinggi,” jelasnya. –utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN