Kadar zakat fitrah Sabah kekal RM7

Kadar zakat fitrah Sabah kekal RM7

YAHYA Hussin (tengah) bersama Mohd. Arifin Mohd. Arif (dua kiri) dan Bungsu @Aziz Jaafar (kanan) semasa mengumumkan kadar zakat fitrah 2023 di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengumumkan kadar zakat fitrah di Sabah kekal pada kadar RM7 pada tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Yahya Hussin berkata, kadar itu adalah bersamaan harga satu gantang baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk negeri ini.

Beliau berkata, kutipan zakat fitrah di Sabah pada tahun lalu adalah RM10.93 juta membabitkan seramai 1.56 juta pembayar, ia menunjukkan peningkatan seramai 23,497 orang pembayar atau 1.53 peratus berbanding 2021.

Secara keseluruhan kutipan zakat pada tahun lalu adalah sebanyak RM133.43 juta, termasuk zakat harta yang berjumlah RM122.49 juta yang membabitkan 104,519 pembayar.

“Berdasarkan pecahan, penyumbang terbesar kutipan zakat harta pada tahun lalu adalah daripada penggajian iaitu sebanyak RM55.21 juta diikuti zakat perniagaan iaitu RM45.77 juta dan zakat pendapatan RM11.41 juta,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Bagi Ramadan tahun ini, MUIS memperuntukkan sebanyak RM17.25 juta untuk diagihkan kepada asnaf miskin, miskin dan mualaf untuk persediaan mereka menyambut 1 Syawal.

Sementara itu, sebanyak RM1.43 juta akan diagihkan kepada 2,200 orang amil fitrah yang ditugaskan untuk menyelaras dan memungut zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan ini.

Yahya berkata, kesemua wakil amil akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelakkan umat Islam mengeluarkan fitrah kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak bertauliah.

Pada tahun ini, MUIS juga menyasarkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM11.44 juta manakala, sasaran pungutan zakat harta tahun ini adalah sebanyak RM140 juta.

Menurut Yahya, kestabilan ekonomi negara serta amalan kerajaan dalam memberi insentif tambahan kepada syarikat-syarikat swasta membolehkan MUIS menyasarkan peningkatan dalam pungutan zakat pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

Setakat Februari lalu, pungutan zakat harta yang direkodkan telah mencecah RM15.39 juta manakala, agihan zakat yang telah diberikan sepanjang tempoh dua bulan lalu adalah sebanyak RM18.06 juta.

Hadir sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Invoasi Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya