KUALA LUMPUR: UMNO perlu diberi ruang menentukan sebarang bentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tanpa terikat dengan mana-mana parti di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, kerjasama yang ada pada hari ini bersama Pakatan Harapan (PH) bersifat sementara, sekali gus UMNO perlu memikirkan strategi dalam mendepani pilihan raya akan datang.
“Kerajaan Perpaduan yang kita anggotai ini hanyalah suatu titik persinggahan. Persinggahan sementara mengumpul kekuatan.
“Ia bukan destinasi akhir kerana matlamat akhir kita adalah untuk kembali dominan dan mendominasi,” katanya ketika perbahasan Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Katanya, agenda menyatupadukan bangsa juga perlu dijadikan hala tuju strategik parti menuju PRU16, dengan tawaran politik yang jelas, berprinsip dan diyakini rakyat.
“Kita perlu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menetapkan kerangka, strategi dan garis masa yang terbaik dalam merealisasikan agenda penyatuan ummah demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Sementara itu Noor Azleen berkata, UMNO perlu terus berada di hadapan dalam memperjuangkan isu rakyat termasuk pendidikan, kesihatan awam, kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan tekanan terhadap peniaga serta penjaja.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan UMNO untuk kembali memayungi usaha memperkukuh perpaduan orang Melayu bagi mengembalikan peranannya sebagai suara utama mewakili kepentingan bangsa itu.
Katanya, orang Melayu kini berdepan perpecahan dan krisis kepemimpinan, manakala parti-parti politik Melayu pula terus berpecah.
“Sebagai parti tulen orang Melayu, UMNO kena ambil tanggungjawab untuk menghentikan perpecahan ini dan kembali mentauti perpaduan serta menelusuri jalur-jalur untuk memperkukuh kembali kesatuan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN










