PUTRAJAYA: Jumlah mereka yang meninggal dunia akibat tibi di negara ini tahun lalu meningkat 12 peratus iaitu sebanyak 2,572 kematian.
Ia menunjukkan kadar kematian adalah 7.9 bagi setiap 100,000 penduduk.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, berlaku peningkatan sebanyak 284 kematian berbanding 2,288 dicatatkan pada 2021 (kadar kematian 6.9 setiap 100,000 penduduk).
Jelasnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 setiap 100,000 penduduk, namun kadar insiden yang dilaporkan di negara ini adalah lebih rendah berbanding sasaran itu.
“Bagi Malaysia, jumlah kes yang dilaporkan pada 2022 adalah 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk).
“Ia dengan peningkatan 3,664 kes (17 peratus) berbanding 21,727 kes (kadar notifikasi 63.5 setiap 100,000 penduduk) pada 2021,” katanya sempena Hari Tibi Sedunia semalam.
Jelasnya, tema Hari Tibi Sedunia pada tahun ini adalah ‘Yes! We Can End TB!’ iaitu memberi inspirasi dan harapan kepada negara menamatkan epidemik tibi menjelang 2035.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, bagi mengurangkan komplikasi kematian, individu yang mempunyai tanda dan gejala penyakit tibi berpanjangan perlu menjalani pemeriksaan awal.
Menurutnya, antara gejala awal termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah. – UTUSAN