JPJ keluar 1,445 notis pelbagai kesalahan - Utusan Malaysia

JPJ keluar 1,445 notis pelbagai kesalahan

AEDY Fadly Ramli (kiri) melihat sebahagian kenderaan perdagangan yang disita dalam Ops Bersepadu Rentas Sempadan di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,445 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan ke atas kenderaan perdagangan dalam Ops Bersepadu Rentas Sempadan di Terengganu sejak 1 Februari sehingga hari ini

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 16 buah kenderaan perdagangan  turut disita dalam operasi sepanjang tempoh  tersebut.

Menurutnya, sebanyak 644 kes direkod melibatkan kesalahan langgar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, guna telefon bimbit, memotong garisan berkembar dan memandu lebih had laju   

Katanya, dalam tempoh sebulan itu, sebanyak 1,424 buah kenderaan perdagangan diperiksa dengan 491 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Antaranya lesen kenderaan yang tamat tempoh (127 kes), tiada lesen memandu vokasional (108 kes) dan lesen memandu kompeten (71 kes), insurans kenderaan (57 kes) dan banyak lagi.

“Kesemua kesalahan termasuk penyitaan kenderaan diambil tindakan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ops Bersepadu Rentas Sempadan di JPJ Terengganu di sini, hari ini.

Aedy Fadly menambah, sejak 2010 sehingga November 2022, sebanyak 560,863 notis dikeluarkan ke atas kenderaan perdagangan di seluruh negara atas kesalahan lebih muatan.

Katanya, daripada jumlah itu, negeri di Pantai Timur iaitu Pahang (72,369 kes), Kelantan (37,585 kes) dan Terengganu (19,529) mencatatkan paling banyak kesalahan.

“Antara faktor kenderaan perdagangan membawa muatan melebihi had dibenarkan adalah sikap tamak mereka mahu mengejar keuntungan dengan cepat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya