Jenazah Safsufarnisya selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Safsufarnisya selamat dikebumikan

JENAZAH Safsufarnisya Salleh, 26, yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jenazah Safsufarnisya Salleh, 26, yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis kelmarin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat di sini malam tadi.

Hampir 300 orang termasuk saudara mara, rakan, penduduk sekitar dan anggota polis mengiringi jenazah ke pengebumian suri rumah itu dan janinnya turut diletakkan dalam satu keranda.

Jenazah yang selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada sebelah petang dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat untuk disembahyangkan yang diimamkan oleh bapa saudaranya, Rus’ele Eizan yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan itu sekitar pukul 9.30 malam untuk dikebumikan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lans koperal polis yang baru pulang bertugas menembak mati isterinya dalam kejadian di bilik tidur rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat di sini.

Kejadian pukul 6 pagi itu membabitkan anggota polis berusia 26 tahun dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Semasa ditahan lans koperal itu berada di dalam bilik tidur bersama mayat isterinya, yang terbaring di atas tilam dengan muka cedera parah dipercayai akibat tembakan dari jarak dekat itu.

Ekoran itu, anggota polis berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Mac depan bagi membantu siasatan berhubung kes tembak tersebut.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN