PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya menjaga kata-kata dan tidak sekali-kali menyinggung kedudukan raja-raja Melayu.
Perdana Menteri berkata, ini terutama dalam soal berkaitan agama Islam kerana kuasa agama itu adalah di bawah bidang kuasa agama negeri-negeri dan raja-raja Melayu berkaitan isu larangan ahli-ahli politik berceramah agama di masjid-masjid dan surau-surau.
“Saya cuma nak ingatkan dalam kenyataan-kenyataan dia (Abdul Hadi) harus jaga supaya jangan menyinggung kedudukan raja-raja Melayu, kalau dibicara Perlembagaan Persekutuan sekali pun ada juga kaedah dia.
“Ini soal kebenaran di masjid, ini terpakai untuk semua. Termasuk Perdana Menteri. Kalau saya memilih untuk bersyarah rasmi masjid itu harus keluar kerana itu kuasa agama di negeri itu di bawah raja-raja, jadi kena faham,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini semalam.
Semalam, Abdul Hadi menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.
Sebaliknya, kata beliau, adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.
Ia susulan larangan terhadap semua ahli politik termasuk ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Dewan Negara memberi kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu, termasuk khutbah Jumaat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan berkata, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.
Menurutnya, arahan larangan tersebut dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Terbaharu, Perak mengambil langkah yang sama iaitu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memperketat program mengajar atau bersyarah di masjid dan surau di negeri itu dengan larangan khusus terhadap individu yang terlibat dengan politik.
Larangan itu diumumkan menerusi surat pekeliling bertarikh 6 Mac 2023 yang diedarkan kepada semua jawatankuasa kariah masjid dan surau di Perak yang berdaftar dengan jabatan tersebut.
Sebelum ini, pada 6 April 2021, Selangor menjadi negeri pertama mengeluarkan larangan kepada ahli politik menyampaikan kuliah atau mengajar tentang agama Islam di semua masjid dan surau.
Dalam pada itu, Anwar berkata, adalah tidak wajar untuk menjadikan larangan ini sebagai agenda politik.
Justeru, kata beliau, sekiranya Abdul Hadi tidak bersetuju dengan larangan itu, maka adalah lebih baik beliau menghadap Sultan-sultan Melayu.
“Kalau dia tidak setuju dia boleh bawa ke persembahan Tuanku, jangan serang kami kerana saya pun tidak boleh sebagai Perdana Menteri tapi saya menghormati budaya itu.
“Saya mengelak daripada berucap di masjid kerana saya pergi ke masjid setiap Jumaat, itu memang diminta oleh jawatankuasa masjid dan imam untuk menyampaikan sedikit tazkirah selepas Jumaat tapi menghormati arahan jabatan agama masing-masing, saya mengelak maka saya bersalaman sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim menjelaskan, individu yang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara (Senator) dilarang mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.
Menurutnya, larangan itu turut terpakai kepada individu yang memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik serta mereka yang pernah menjadi calon dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Tegasnya, pihaknya turut tidak membenarkan individu yang telah bersara sebagai ADUN, ahli parlimen atau senator tetapi didapati kekal aktif dalam kegiatan-kegiatan politik, mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.
“Individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada pihak JAIPk juga dilarang mengajar di masjid dan surau di Perak,” jelasnya dalam surat pekeliling tersebut yang diberi kepada media semalam.
Menurut beliau, keputusan tersebut ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak serta memohon semua jawatankuasa kariah masjid dan surau mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan itu.
Dalam masa sama, beliau meminta jawatankuasa kariah masjid dan surau sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah agar ia selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat. – UTUSAN










