Jalan alternatif tanpa lalui Terowong Menora perlu disegerakan - Utusan Malaysia

Jalan alternatif tanpa lalui Terowong Menora perlu disegerakan

SAARANI Mohamad (kanan) mendengar aduan rakyat pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Arena Square Parit hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Projek jajaran lebuh raya baharu menghubungkan Gopeng-Kuala Kangsar sebagai laluan alternatif ke utara tanpa melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara-Selatan perlu disegerakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan projek tersebut penting bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas dan kemalangan yang kerap berlaku di laluan berkenaan.

“Saya yakin projek ini akan dapat dilaksanakan sebab kita rasa resah saban minggu berlaku kemalangan atau kemalangan maut di tempat yang digeruni di Terowong Menora.

“Kita harap lagi cepat diluluskan, lagi cepat projek itu dibangunkan, jadi lagi cepat kita boleh membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Arena Square Parit di sini hari ini.

Menurut beliau, projek tersebut telah dicadangkan syarikat pemaju kepada kerajaan negeri pada Februari 2021, namun pelaksanaannya tertangguh ekoran beberapa faktor termasuk pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun katanya, syarikat itu telah melalui beberapa prosedur yang perlu dan kini sedang menunggu keputusan Kabinet untuk mendapatkan perjanjian konsesi berkaitan pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Mereka telah pergi ke Kementerian Kerja Raya (JKR) dan melalui segala proses yang patut selain perlu ada persetujuan dari segi harga oleh Kementerian Kewangan.

“Disebabkan projek ini dilaksanakan secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI), sudah tentu ada keperluan untuk Kementerian Kewangan menentukan atau bersetuju dengan harga yang dicadangkan oleh pihak kontraktor.

“Sebenarnya kerajaan negeri tiada hal, bila kerajaan pusat bersetuju, kita akan melakukan proses-proses yang patut termasuk proses pengambilan tanah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri menerima cadangan berhubung pembinaan jalan pintas ke utara tanpa melalui Terowong Menora sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa.

Laluan pintas sepanjang 64 kilometer itu akan bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar seterusnya Kuala Kangsar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN