Inspektor polis berdepan penjara dua tahun, denda RM50,000

Dadah: Inspektor polis berdepan penjara dua tahun, denda RM50,000

ROSLAN Sam (baju putih) diperintah membela diri di Mahkamah Majistret Seremban semalam atas pertuduhan mengambil dadah, tiga tahun lalu bersama peguamnya Haresh Mahadevan (kanan). - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan diperintah membela diri di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan mengambil dadah, tiga tahun lalu.

Majistret Mohd. Firdaus Saleh memutuskan demikian terhadap tertuduh, Roslan Sam, 43, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Mohd. Firdaus berkata, mah­kamah telah meneliti fakta kes, ekshibit dan keterangan saksi dengan mengguna pakai prinsip maximum evaluation.

Mohd. Firdaus justeru ber­kata, mahkamah kemudian memberikan tiga pilihan kepada tertuduh berhubung perbicaraan membela diri itu.

“Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah, keterangan tidak ber­sumpah dan berdiam diri.

“Kalau memilih untuk berdiam diri maka mahkamah sedia menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh,” katanya pada prosiding kes di sini semalam.

Peguam yang mewakili ter­tuduh, Haresh Mahadevan ke­mudian memilih untuk mem­berikan keterangan ber­sumpah dari kandang tertu­duh dengan memanggil dua saksi pendakwaan.

Haresh berkata, saksi tersebut ialah seorang anggota polis, Koperal Shahril Amri dan orang awam, Ong Boon Hoe.

Menurut Haresh, setakat ini tujuh orang saksi telah dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan kes bermula tahun lalu dan pertuduhan dibuat pada Mac 2021.

Mengikut pertuduhan, Roslan Sam didakwa telah mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu sejenis Ketamin, Emphatamin, Methamphetamin, Methylenedioxy – Emphatamin dan Methylenedioxy Methamphetamin.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini pada 27 September 2020.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan pihak pembelaan turut dibantu peguam Wan Emyra Batrisyia Ismail.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dipanggil membela diri pada 23 dan 24 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN