Ini kemenangan kami seluruh keluarga - Rosmah

Ini kemenangan kami seluruh keluarga – Rosmah

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja kemenangan untuknya tetapi seluruh ahli keluarga. 

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ia menjadi keputusan yang dinantikan ahli keluarganya selama ini. 

“Syukur, Alhamdulillah sebab kes hari ini adalah satu kemenangan bukan sahaja untuk suami saya (Najib) tetapi kepada keluarga kami. 

“Keputusan hari ini sudah tentu memulihkan semangat dan yang kami nanti-nanti bukan sahaja untuk Datuk tetapi untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Rosmah turut memaklumkan, beliau sempat bertemu Najib di mahkamah dan memberitahu bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan rasa syukur atas keputusan itu serta berharap keadaan lebih baik berpihak kepadanya.

“Beliau juga kata rasa bersyukur, ini adalah satu kemenangan untuk beliau. Insya-Allah,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpuri membebaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan mengubah laporan akhir audit 1MDB bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Arul Kanda layak mendapat sijil indemniti yang menghalangnya daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa telah mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.