KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal sebak apabila dua anaknya dipilih sebagai penerima bantuan persekolahan buat kali pertama sejak kematian suami 11 tahun lalu.
Rohani Che Ka, 55, berkata, sejak kematian suami tugas selaku ketua keluarga terpaksa digalasnya untuk membesarkan tiga anak yang berusia antara 12 hingga 16 tahun.
“Kepayahan untuk membesarkan anak-anak semakin dirasai, tambahan pula dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini. Pendapatan sebagai tukang cuci sekitar RM400 hingga RM500 tidak mencukupi.
Berita berkaitan:
“Mujurlah Kelab Santuni Asnaf dan Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKNK) memahami keprihatinan hidup yang dialami oleh keluarga saya. Dengan bantuan ini, dapatlah meringankan beban saya untuk menguruskan perbelanjaan persekolahan anak,” katanya ketika ditemui pada program Kembali Ke Sekolah Anjuran Kelab Santuni Asnaf dan GKNK di Kubang Kerian di sini hari ini.
Seorang lagi ibu tunggal Zi Norlaili Ismail, 47, memberitahu, bantuan ini amat meringankan bebannya dalam menyediakan keperluan sekolah tahun ini.
Katanya, kebiasaan anak-anaknya akan menggunakan pakaian seragam yang sedia ada selain sumbangan daripada jiran terdekat.
“Syukur tahun ini dua anak saya dapat membeli pakaian baharu. Ini kali pertama anak-anak dapat merasai nikmat pakaian baharu untuk penggal persekolahan minggu depan,” ujarnya.
Sementara itu, Tengku Maslila Aidawani Ismail, 39, berkata, peningkatan kos sara hidup ketika ini memang memberikan kesan kepadanya yang merupakan golongan berpendapatan rendah.
“Mujurlah saya terpilih antara penerima bantuan tersebut dengan bantuan ini dapatlah meringankan beban kami sekeluarga. Lagipun suami hanya bekerja sebagai kelindan lori dan pendapatannya tidak menentu,” katanya.-utusan











