Ibu berlapang dada maafkan anak selepas dibelasah

Ibu berlapang dada maafkan anak selepas dibelasah

SEORANG ibu sanggup memaafkan anaknya yang telah bertindak membelasahnya dalam kejadian di Tanah Merah, Kelantan kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang ibu berlapang dada memaafkan kesalahan anak lelakinya biarpun ‘dibelasah’ selepas dipercayai enggan memberikan wang sebanyak RM20 untuk membeli dadah dalam kejadian di Kampung Gual Jedok, di sini, kelmarin.

Ibu yang enggan dikenali itu berkata, selepas kejadian anaknya telah datang dan memeluknya kemudian meminta maaf atas perbuatan tersebut.

Menurutnya, sebelum itu anak keempat daripada lima beradik itu telah meminta wang sekitar pukul 3 petang pada hari kejadian.

“Kebetulan semasa kejadian saya tidak mempunyai duit. Bagaimanapun dia kemudian berubah sikap sehingga sanggup bertindak di luar batasan.

“Saya menjerit dan merayu supaya berhenti daripada berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Ibu berkenaan memberitahu, setiap hari anaknya itu akan meminta wang daripadanya.

Katanya, selepas bertindak di luar kawalan anaknya itu telah melarikan diri sebelum kembali semula ke rumah.

Utusan Online sebelum itu melaporkan, hanya kerana RM20 untuk beli dadah, seorang anak sanggup ‘membelasah’ ibu kandungnya berusia 65 tahun selepas wanita berkenaan enggan memenuhi permintaan itu dalam kejadian di Kampung Gual Jedok, di sini, kelmarin.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami bengkak dibahagian kepala, dahi, mata dan sakit pada bahagian badan selepas suspek yang merupakan penagih tegar berusia 32 tahun tersebut telah menarik, memukul, memijak, menampar serta menyepak ibunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN