Hutang AS jejas kadar faedah, mata wang

Hutang AS jejas kadar faedah, mata wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar faedah pinjaman dan nilai mata wang negara dijangka terjejas dengan kadar hutang $31.46 trilion dolar yang ditanggung oleh Amerika Syarikat (AS) ketika ini.

Keadaan itu boleh berlaku kerana menurut Perbendaharaan AS, daripada keseluruhan jumlah hutang tersebut, lebih $7.4 trilion dolar melibatkan hutang dengan pelabur asing dan antarabangsa yang merupakan hutang kedua terbesar selepas hutang awam ($12.26 trilion).

Jepun muncul pemegang hutang terbesar AS dengan $1.08 trilion diikuti China dengan $870 bilion dan United Kingdom ($645.8 bilion), namun jumlah itu dikurangkan secara mendadak sejak tahun lalu, menunjukkan tanda hilang keyakinan terhadap AS dalam melangsaikan hutangnya.

Malah, kadar hutang AS telah mencecah melebihi had siling yang dibenarkan, meskipun had itu baharu sahaja dinaikkan kepada $2.5 trilion dolar pada 2021.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Senior Kewangan Islam Malaysia, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid menjelaskan, jika keyakinan pelabur asing terhadap AS untuk membayar hutang terus berkurangan, kadar faedah kemungkinan terpaksa dinaikkan bagi menampung pembayaran sedia ada.

Pada masa sama, katanya, ia secara tidak langsung juga akan menjejaskan nilai mata wang negara berbanding dolar AS.

“Salah satu sebab hutang AS meningkat kerana mereka membuat pinjaman yang banyak di luar negara. Ini memberi tekanan kepada negara lain untuk menaikkan kadar faedah dan impaknya akan menjejaskan mata wang negara lebih RM4 akibat apa yang berlaku di AS.

“Segalanya bergantung kepada keyakinan terhadap ekonomi AS. Mereka memiliki hutang yang tinggi kerana keyakinan terhadapnya masih tinggi seperti mata wang dolar yang unggul, sebab itu mereka boleh terus membuat pinjaman, tetapi jika tidak, kesan hutangnya kepada ekonomi negara akan wujud,” katanya ketika dihubungi.

Laporan Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini mendapati sejumlah RM1.1694 bilion hutang luar Malaysia dicatatkan ekoran peningkatan pinjaman luar pesisir dan deposit bukan pemastautin serta kesan penilaian daripada tukaran mata wang asing berikutan kenaikan nilai dolar AS.

Daripada jumlah tersebut, pinjaman luar pesisir mencatatkan RM646.7 bilion atau 55 peratus daripada jumlah hutang luar disebabkan oleh pinjaman antara bank yang lebih tinggi dan pinjaman berdenominasi mata wang asing bersih oleh sektor swasta.

Bagaimanapun, kerajaan yakin hutang luar kekal terurus dengan komposisi hutang jangka sederhana dan panjang yang tinggi iaitu 58.5 peratus berbanding hutang jangka pendek sebanyak 41.5 peratus, terutama rizab mata wang asing yang mencukupi dapat mengurangkan risiko pembiayaan semula liabiliti luar jangka pendek.

Justeru, Mohd. Redza berkata, kerajaan perlu memastikan pinjaman asing tidak dibuat dengan keterlaluan sehingga menyumbang kepada peningkatan hutang luar negara.

“Jika keterlaluan, ekonomi akan terjejas. Jadi, kadar pinjaman tidak boleh terlalu rendah kerana keadaan akan menjadi sukar jika kadar faedah nanti dinaikkan, aliran mata wang juga perlu dipastikan terus masuk ke dalam negara.

“Namun, Bank Negara juga dalam dilema, jika keadaan di AS berterusan, mereka mungkin terpaksa naikkan kadar, mereka tiada pilihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×