Hussin Ismail dilantik sebagai Ahli Dewan Negara - Utusan Malaysia

Hussin Ismail dilantik sebagai Ahli Dewan Negara

HUSSIN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan usul melantik pengasas dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, 68, sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu.

Cadangan pelantikan Hussin itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mewakili negeri ini untuk tempoh dua tahun.

Pelantikan Ahli Dewan Negara yang baharu itu dibuat selepas Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali memaklumkan mengenai usul Pemilihan Ahli Dewan Negara baharu selepas terdapat kekosongan jawatan tersebut yang sebelum ini disandang Nuridah Mohd. Salleh.

Hussin yang juga Pengerusi Tetap Pas Pusat dan Timbalan Ketua Lujnah Dakwah Pas Pusat mendapat pendidikan Diploma dalam Sains dan Pendidikan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Beliau adalah pengasas kepada rangkaian sekolah tahfiz ‘fast track’ Akademi Al-Quran Amalillah dan pengasas Ahli Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau.

Anak kepada pasangan guru agama dan guru Al-Quran itu juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu pada tahun 2020.

Hussin ketika ditemui pemberita sejurus selepas pelantikan itu berkata, beliau akan memberi khidmat terbaik dalam membawa agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di Dewan Negara.

“Sudah pasti, pengalaman yang saya ada sepanjang terbabit dalam misi kemanusiaan sebelum ini akan digunakan sepenuhnya untuk manfaat rakyat,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya