PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan beberapa siri hujan lebat di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Utara Sabah sehingga akhir bulan ini.
Menurut Met Malaysia, perkara itu berdasarkan tinjauan cuaca melalui penganalisaan beberapa model tinjauan iklim terpilih seperti NCEP Coupled Forecast System Model Version 2 (CFSv2), JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre), European Centre for Medium Range Weather Forecast (ECMWF) dan Seasonal Climate Forecast, International Research Institute for Climate Society (IRI).
Selain itu, katanya, fenomena global yang mencorakkan cuaca semasa Negara seperti El-Niňo Southern Oscillation (ENSO), Madden-Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD) juga turut dibincangkan.
“Negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada 7 November tahun lalu dan dijangkakan berakhir pada bulan ini. Semasa tempoh MTL, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam.
“Sepanjang MTL 2022 hingga 2023, empat hingga enam episod luruan monsun dijangkakan berlaku dan menyebabkan ombak besar serta laut bergelora di Laut Cina Selatan.
“Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka berlaku terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan utara Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Met Malaysia memaklumkan, negeri di Semenanjung dijangka menerima taburan hujan pada paras puratanya iaitu dari 100mm hingga 350mm pada bulan Mac ini.
“Di Sarawak, kebanyakan bahagian diramal menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 450mm, kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 200mm hingga 250mm.
“Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu sekitar 50mm hingga 150mm, kecuali di Kudat dan Sandakan yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 150mm hingga 250mm,” ujarnya. – UTUSAN