Rakyat AS tolak penglibatan tentera dalam perang Israel-Iran - Utusan Malaysia

Rakyat AS tolak penglibatan tentera dalam perang Israel-Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat (AS) menolak sebarang penglibatan ketenteraan negara itu dalam perang yang semakin meruncing antara Israel dan Iran, menurut hasil tinjauan terbaharu YouGov/Economist.

Tinjauan yang dijalankan dari 13 hingga 16 Jun 2025 itu mendapati 60 peratus rakyat AS tidak bersetuju dengan penglibatan tentera negara ini dalam konflik tersebut, manakala hanya 16 peratus menyatakan sokongan.

Keputusan tinjauan itu hadir ketika kebimbangan semakin meningkat di Washington berikutan kemungkinan AS akan terseret lebih jauh dalam peperangan Israel-Iran susulan serangan rejim tersebut yang disifatkan tidak berprovokasi ke atas Iran pada Jumaat lalu.

Walaupun Presiden AS, Donald Trump memberikan sokongan kuat secara lisan dan logistik kepada Israel, pentadbirannya setakat ini masih belum mengambil sebarang tindakan ketenteraan secara langsung.

Jurucakap Pentagon dalam satu kenyataan turut menafikan laporan AS terlibat dalam sebarang operasi bersama Israel di dalam wilayah Iran.

Tinjauan itu turut menunjukkan tahap sokongan yang tinggi terhadap penyelesaian diplomatik di mana seramai 61 peratus pengundi Republikan dan 56 peratus responden keseluruhan menyokong rundingan dengan Iran berhubung program nuklear negara itu, satu pendirian yang bercanggah dengan naratif media arus perdana dan retorik politik keras yang sering menggambarkan Iran sebagai pihak yang tidak boleh dirunding.

Penolakan awam terhadap penglibatan tentera AS juga dipengaruhi oleh kebimbangan kemanusiaan yang semakin meningkat di mana sejak Oktober 2023, lebih 61,000 penduduk Palestin terbunuh di Gaza akibat serangan tentera Israel, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Jumlah korban yang amat tinggi dan dakwaan pembunuhan beramai-ramai yang kini sedang disiasat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendorong semakin ramai rakyat AS mempersoalkan sokongan ketenteraan tanpa syarat terhadap Israel.

Tinjauan ini mencerminkan keletihan rakyat terhadap penglibatan ketenteraan jangka panjang AS di luar negara serta kesedaran awam yang semakin tinggi terhadap kos yang perlu ditanggung sama ada dari segi nyawa manusia mahupun kestabilan politik domestik. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN