NEW DELHI: Siasatan awal terhadap nahas pesawat Air India penerbangan 171 mendedahkan kemungkinan besar pesawat berkenaan beroperasi menggunakan bekalan kuasa kecemasan selepas kedua-dua enjinnya gagal berfungsi semasa berlepas, menurut sumber dalaman siasatan seperti dilaporkan The Wall Street Journal.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Gatwick itu terhempas atas asrama kolej perubatan di Ahmedabad, India Barat sejurus selepas berlepas pada Khamis lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 270 orang.
Menurut siasatan, pesawat tersebut hanya berada 120 meter dari permukaan tanah apabila kedua-dua juruterbang berpengalaman hilang kuasa enjin dan ada 17 saat untuk mengawal semula pesawat sebelum ia merempuh bangunan yang dipenuhi kakitangan perubatan.
Pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara India kini mengetuai siasatan dengan kerjasama pakar dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan wakil Boeing.
Tumpuan utama siasatan untuk menentukan sama ada pesawat itu mengalami kehilangan kuasa tujahan sepenuhnya atau sebahagiannya semasa berlepas.
Antara sistem kecemasan yang dipercayai telah digunakan ialah turbin kecil berbentuk kipas yang diturunkan dari bawah badan pesawat untuk menjana kuasa sementara jika kedua-dua enjin gagal atau tekanan hidraulik menurun secara kritikal.
Sumber mendedahkan posisi penstabil sayap dan permukaan kawalan penerbangan lain menunjukkan pesawat disediakan dalam konfigurasi berlepas sewaktu insiden berlaku.
Penyiasat juga menganalisis kotak hitam pesawat.










