Himpit 2023:  Polis tunggu arahan PPN ambil tindakan - Utusan Malaysia

Himpit 2023:  Polis tunggu arahan PPN ambil tindakan

WAN Rukman Wan Hassan (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota pada Majlis Perbarisan Sempena Hari Polis Ke-216 di Kuala Terengganu, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pihak polis masih menunggu arahan pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut berkaitan kes perarakan di Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu, dekat sini, pada 17 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan, berkata, pihaknya telah melengkapkan dan menghantar kertas siasatan perhimpunan tersebut kepada PPN pada 22 Februari lalu.

Menurutnya, kertas siasatan itu kemudian dipulangkan semula kepada pihak polis disertai arahan termasuk mendapatkan pengesahan dengan pihak penganjur Himpit.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Terengganu telah menghantar semula kertas siasatan itu buat kali kedua, minggu lalu, untuk diteliti dan dikaji oleh PPN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 59 individu terdiri daripada kakitangan awam, pegawai rendah dan pegawai kanan polis, pegawai jabatan persekutuan menerima surat penghargaan daripada polis Terengganu.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar sekumpulan peserta Himpit yang berjubah putih berarak sambil memegang objek berbentuk tombak dan perisai ketika penganjuran program itu.

Selain itu, terdapat gambar memaparkan pacuan empat roda yang membawa objek berbentuk sebilah pedang besar di bahagian muatan belakang kenderaan terbabit.

Difahamkan, program Himpit itu dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Wan Rukman memberitahu,  polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada PPN untuk mengambil tindakan.

“Kami sentiasa berhubung dengan pihak PPN dari masa ke semasa untuk mendapatkan maklumat terbaharu berhubung kes tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya