High Council ditegur, adegan merokok terlalu banyak

High Council ditegur, adegan merokok terlalu banyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Drama bersiri Projek: High Council yang ditayangkan di Astro sejak 14 Januari lalu, dikatakan memaparkan adegan merokok dalam kalangan pelajar secara terbuka dan keterlaluan.

Public Health Malaysia menerusi kenyataan di Facebook hari ini melahirkan kekesalan kerana terdapat beberapa adegan yang tidak bersesuaian dengan khalayak penonton.

Jelasnya, secara logik perbuatan segelintir pelajar yang merokok di sekolah berasrama dilakukan secara tersembunyi dan bukan secara terbuka seperti dalam drama tersebut.

“Adegan watak Kahar, Naim dan geng mereka merokok secara terbuka di dalam bilik asrama, sedangkan bau asap rokok yang kuat boleh dikesan warden asrama. Watak utama bernama Mia juga merupakan tokan rokok dan juga seorang perokok.

“Merokok semasa dating. Naim dan Mia merokok bersama semasa dating dan adegan ini berulang kali ditayangkan,” tulisnya dalam media sosial tersebut hari ini.

Kenyataan tersebut turut mempersoalkan bagaimana watak adik beradik Naim dan Fakri boleh merokok di halaman rumah mereka sendiri.

“Tiada ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur merokok di halaman rumah.

“Dalam drama ini, kenapa rokok hanya diletakkan di dalam laci pelajar, bukannya disorok di tempat yang lebih rumit.

“Ada babak guru yang menutup sebelah mata mengenai pelajar asrama merokok. Tiada guru atau warden yang akan membiarkan pelajar merokok secara berleluasa di sekolah mereka,” tegasnya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya mengakui merokok adalah masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar.

Namun, katanya, drama yang memasuki episod akhir semalam, memaparkan adegan merokok terlalu banyak dan keterlaluan.

“Adakah terdapat tangan ghaib yang meminta produksi memasukkan begitu banyak adegan merokok itu?

“Situasi ini dilihat sebagai strategi pemasaran syarikat rokok yang mahu budaya merokok terus kekal relevan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Lantaran itu, pihaknya menggesa semua produksi filem dan drama menghentikan promosi perbuatan merokok kepada khalayak penonton.

“Mungkin ramai yang memperlekehkan saranan ini. Namun inilah tanggungjawab sosial kami untuk memberi kesedaran kepada produksi dan masyarakat.

“Jangan normalisasi budaya merokok dalam masyarakat yang sudah tegar,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.