KOTA KINABALU: Kedaifan hidup memaksa Umairah (bukan nama sebenar) tinggal berjauhan daripada ibu bapanya seawal usia lima tahun.
Dalam usia sekecil itu, anak keempat daripada 10 beradik itu telah dihantar oleh keluarganya ke Rumah Anak Kesayangan Sabah (RAKS).
Semasa mula-mula dihantar ke RAKS, Umairah, 12, berkata, dia sering menangis kerana ingin pulang ke pangkuan ibunya.
Katanya, setelah hampir enam tahun tinggal bersama kawan-kawan di RAKS, dia sudah mula sesuaikan diri dan boleh memahami keadaan keluarga yang susah.
“Walaupun setiap kali menjelang Ramadan jarang dapat bersahur dan berbuka puasa bersama keluarga namun saya bersyukur kerana berpeluang meraikan Aidilfitri bersama adik-beradik dan ibu bapa.
“Kalau hari raya, kami dibenarkan pulang ke rumah dan meraikan sambutan Aidilfitri bersama dengan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, kini, dia dan adik lelakinya yang berusia lapan tahun sama-sama ditempatkan di RAKS membuatkannya tidak lagi rasa keseorangan.
Sementara itu, Pengurus RAKS, Aini Amin berkata, rumah kebajikan yang menempatkan anak yatim dan anak-anak daripada golongan asnaf itu mempunyai seramai 103 penghuni yang masing-masing ditempatkan di RAKS Likas dan Sembulan.
Katanya, penghuni RAKS berusia antara empat hingga 13 tahun yang datang dari seluruh pelusuk negeri termasuk Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
“Kalau yang masih kecil, semasa dihantar ke sini memang akan menangis sebab mahu pulang semula ke rumah. Namun, selepas sebulan, lazimnya mereka sudah mula sesuaikan diri sebab ramai kawan.
“Ada antara ibu bapa penghuni di sini datang melawat sebulan sekali bagi mereka yang tinggal sekitar banda raya ini,” katanya. – UTUSAN











