Hasil padi negara rendah berbanding pengeluar lain Asia Tenggara

Hasil padi Malaysia rendah berbanding pengeluar lain Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil pengeluaran padi negara masih rendah berbanding pengeluar lain di Asia Tenggara ini, dengan kadar di Malaysia cuma kira-kira 3.8 tan sehektar.

Data purata pengeluaran padi per hektar seluruh negara menunjukkan bahawa pada 2021, purata pengeluaran padi berjumlah 3.749 tan sehektar, sementara pada 2020 kadar purata pengeluaran padi negara cuma berjumlah 3.654 tan dan 3.501 tan bagi 2019.

Jumlah tersebut lebih rendah berbanding negara-negara pengeluar padi di rantau ini, dengan Vietnam mendahului carta sebanyak 6.14 tan per hektar, diikuti Indonesia (5.12 tan per hektar); Filipina (4.16 tan per hektar), Malaysia (3.749 tan per hektar); Myanmar (3.82 tan per hektar); Kemboja (3.49 tan per hektar) dan Thailand sebanyak 2.96 tan per hektar.

Mengulas perkara tersebut, Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus sewaktu dihubungi berkata, faktor utama mendorong masalah pengeluaran padi negara berpunca akibat kegagalan menjalankan analisa tanah di setiap kawasan jelapang padi.

Jelas beliau, setiap kawasan jelapang berbeza mempunyai nutrisi dalam tanah yang berbeza, justeru memerlukan jenis baja yang berbeza dan tidak boleh menggunakan konsep ‘one size fits all’.

Oleh itu katanya, jenis baja yang disubsidikan juga haruslah berbeza antara satu kawasan jelapang dengan kawasan yang lain supaya memastikan baja yang ditaburkan dapat melengkapkan kawasan yang mempunyai kekurangan nutrisi tertentu dan spesifik.

Pembaziran baja

Malangnya, dedah Zulkifli, pihaknya difahamkan bahawa sekarang ini tiada pihak yang menjalankan analisis tanah di kawasan-kawasan jelapang, mendorong berlakunya masalah pembaziran baja yang tidak dapat melengkapkan keperluan nutrisi tanah tersebut.

“Teknik pembajaan, jenis baja dan masa pembajaan adalah aspek yang perlu dipertingkatkan. Jelapang yang berbeza lokasinya mempunyai nutrisi dalam tanah yang berbeza. Ini bermakna, jenis pembajaan juga haruslah spesifik.

“Ini bermakna, kita tidak boleh mengamalkan konsep ‘one size fit all’, menggunakan baja jenis yang sama untuk setiap kawasan jelapang yang hakikatnya mempunyai nutrisi berbeza-beza antara satu sama lain.

“Apa yang perlu adalah kita harus mengenal pasti kandungan nutrien pada tanah di satu-satu kawasan jelapang tersebut. Apa yang penting, agensi perlu melakukan analisa tanah untuk kenal pasti apakah nutrien yang kurang, apa pula nutrien yang sudah cukup.

“Jika tak buat begini, kita membazir baja. Baja haruslah dilakukan di kawasan tanah yang betul-betul tak cukup nutrien yang spesifik. Maklumat yang saya dapat, analisa tanah untuk kawasan tanaman padi ini sekarang masih tidak dipraktikkan,” katanya di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu segera menangani masalah kelewatan penghantaran baja padi kepada petani yang sering kali berlaku sehingga menjejaskan hasil pengeluaran.

“Tempoh masa pembajaan sangat penting dan harus dipatuhi secara ketat oleh petani. Tapi isunya, adakala pesawah terima baja lambat. Padi ini, jika kita tertinggal satu hari saja pun membaja, hasilnya akan berkurangan. Ia tanaman yang sangat sensitif,” katanya.

Program pendidikan pertanian

Selain itu, katanya, kementerian serta agensi yang terlibat juga perlu memantapkan lagi aktiviti pengembangan kepada petani. 

“Mungkin masih ada petani tidak tahu tentang pembajaan misalnya. Kadang-kadang ada petani yang baja sudah sampai, tapi mereka pula tidak mematuhi jadual masa pembajaan. Jadi kena ada program pendidikan pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, satu sumber yang terlibat melaksanakan dasar pertanian memberitahu Utusan Malaysia, meskipun dari segi angka, pengeluaran padi negara cuma di tangga ke-4 berbanding Vietnam, Indonesia dan Filipina, namun sebenarnya jumlah itu agak tinggi jika mengambil kira saiz keluasan tanaman padi seluruh negara yang berjumlah cuma 650,000 hektar saja.

Kata sumber, jika dibuat perbandingan dengan Vietnam misalnya, meskipun negara itu mencatatkan jumlah pengeluaran padi sebanyak 6.14 tan per hektar, namun saiz keluasan tanamannya berjumlah 7.21 juta hektar sedangkan Malaysia cuma mempunyai saiz kawasan tanaman padi berjumlah 0.65 juta hektar sahaja.

“Sebenarnya prestasi pengeluaran padi negara agak tinggi jika diambil kira saiz keluasan kawasan tanaman padi kita yang tidak pun sampai 1 juta hektar.

“Tapi apapun, kerajaan akan sentiasa menambah baik pengeluaran dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan dan ketersediaan makanan negara,” kata sumber. – UTUSAN

INFOGRAFIK 1

Hasil pengeluaran padi mengikut negara dan saiz kawasan tanaman

1. Vietnam: 6.14 tan per hektar (Saiz kawasan tanaman 7.21 juta hektar)

2. Indonesia: 5.12 tan per hektar (Saiz kawasan tanaman 11.2 juta hektar)

3. Filipina: 4.16 tan per hektar (Saiz kawasan tanaman 4.83 juta hektar)

4. Malaysia: 3.749 tan per hektar (Saiz kawasan tanaman 0.65 juta hektar)

5. Myanmar: 3.82 tan per hektar (Saiz kawasan tanaman 6.89 juta hektar)

6. Kemboja: 3.49 tan per hektar (Saiz kawasan tanaman 3.50 juta hektar)

7. Thailand: 2.96 tan per hektar (Saiz kawasan tanaman 11.36 juta hektar)

INFOGRAFIK 2

Data purata pengeluaran padi per hektar seluruh negara (tan per hektar)

2021: 3.749 

2020: 3.654

2019: 3.501

2018: 3.770

2017: 3.750

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN