Gurauan ‘kena renjatan’ jadi kenyataan - Utusan Malaysia

Gurauan ‘kena renjatan’ jadi kenyataan

TANGKAP layar mesej Saiful Asraf Mukhtar Saiful Khair yang menyatakan rambutnya terkena renjatan elektrik dalam kumpulan WhatsApp keluarga bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: “Kena electric shock (renjatan elektrik).”

Itu gurauan pelatih guru, Saiful Asraf Mukhtar Saiful Khair, 21, ketika ditanya ahli keluarga tentang rambut Allah­yarham yang bertukar ke­rinting dalam kumpulan Whats­App keluarga.

Gurauan itu rupa-rupanya menjadi kenyataan apabila dia meninggal dunia akibat kejadian serupa ketika misi bantuan pasca banjir di sini, Ahad lalu.

Menurut Sitti Ruhaidah Sampon, 43, Allahyarham yang juga anak saudaranya ada menghantar mesej dalam aplikasi Whats­App menyatakan gurauan itu.

“Pada 23 Februari lepas, dia hantar gambar dengan keadaan rambut kerin­ting, seolah-olah mi segera.

“Kami bertanya kenapa begitu. Dia balas dengan gurauan, kena electric shock sambil letak emoticon ketawa. Pada waktu itu kami anggap ia gurauan biasa. Namun apabila menerima perkhabaran pemergiannya, kami sebak teringat kembali gurauannya.

“Ia jadi ke­nyataan di akhir hayatnya pada 12 Mac, iaitu 17 hari selepas dia menyatakan me­ngenai renjatan elektrik itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, Saiful Asraf tidak menunjukkan sikap aneh malah dia seorang yang ceria.

“Saiful ada buat panggilan pada awal Februari lalu meminta pendapat mengenai pengisian aktiviti akhir sesi persekolahan. Komitmennya terhadap tugasan yang diberi sangat tinggi,” katanya.

Saiful yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dijangka menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2025.

Pada Ahad lalu Utusan Malaysia melaporkan Saiful terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penyem­bur air sewaktu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Sekolah Kebangsaan Pagoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN