Fitnah: Lip Lim Eng diperintah bayar RM2 juta

Fitnah: Lip Lim Eng diperintah bayar RM2 juta

LIM LIP ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Jessy Lai kerana memfitnah mereka, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir turut memerintahkan ahli parti DAP itu untuk membuat permohonan maaf dalam masa tujuh hari selepas kenyataan maaf itu dimuktamadkan.

Hakim itu memutuskan demikian selepas mendapati Lip Eng yang dinamakan sebagai defendan telah memfitnah dan mencemarkan nama baik syarikat itu dan Lai pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

“Defendan tidak menafikan bahawa beliau telah membuat kenyataan tersebut dan kenyatan itu telah diterbitkan. Adalah jelas daripada kenyataan yang dibuat, ia merujuk kepada kedua-dua plaintif.

“Kenyataan itu juga dengan jelas menggambarkan bahawa plaintif telah merasuah pegawai kanan kerajaan dan plaintif telah menjalankan perniagaan yang melanggar undang-undang termasuk menipu 19 warganegara China,” kata hakim itu ketika membaca penghakimannya.

Selain ganti rugi RM2 juta dan permohonan maaf tersebut, Hakim Akhtar turut memerintahkan Lip Eng untuk membayar kos sebanyak RM250,000.

Lai dan MonSpace (plaintif pertama dan kedua) memfailkan saman terhadap Lip Eng pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahass Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Lai berkata, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya