Fasa 1 projek pesisir Sungai Perai siap pertengahan April - Utusan Malaysia

Fasa 1 projek pesisir Sungai Perai siap pertengahan April

CHOW Kon Yeow (tengah) dan Azhar Arshad (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian dengan menanam pokok sempena majlis pecah tanah kerja-kerja reka bentuk dan naik taraf laluan pejalan kaki/berbasikal di pesisir Sungai Perai (Taman Inderawasih-Taman Kimsar), Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Projek mengindahkan kawasan pesisir Sungai Perai di sini khususnya untuk fasa pertama yang menelan belanja sehingga RM440,000 dijangka siap pada 16 April ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, kerja-kerja mereka bentuk dan menaik taraf laluan pejalan kaki serta berbasikal di pesisir sungai itu sedang giat dilaksanakan.

Selain laluan pejalan kaki dan berbasikal, tambah beliau, komponen lain yang tersenarai dalam projek naik taraf yang bermula di kawasan tanah lapang itu ialah pembinaan dataran serta penanaman rumput.

“Saya difahamkan, sebaik sahaja fasa ini selesai, ada lagi lima fasa yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Bukan mudah sebenarnya untuk melaksanakan projek seperti ini. Namun, dengan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin ia bukan satu halangan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pecah tanah untuk projek fasa pertama itu yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Dr. P. Ramasamy serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad.

Menurut MBSP, anggaran panjang laluan yang dinaik taraf itu adalah 300 meter dengan dua meter lebar atau berkeluasan kira-kira 2,864 meter persegi di pesisir Sungai Perai iaitu di antara Taman Inderawasih dan Taman Kimsar di sini.

Ia merupakan antara langkah pembaikan terhadap kemudahan sedia ada selain memberi nilai tambah untuk kawasan lapang hijau sedia ada yang berfungsi sebagai ‘green lung’ untuk kegunaan penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Azhar memberitahu, MBSP komited meneruskan usaha menaik taraf lebih banyak kawasan lapang di Seberang Perai.

“Pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf landskap di kawasan-kawasan lapang ini diiktiraf mampu mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat untuk semua lapisan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya