Enam ditahan, ganja bernilai RM12,320 dirampas

Enam ditahan, ganja bernilai RM12,320 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan enam individu warga tempatan pada Isnin lalu kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja.

Menerusi serbuan pertama kira-kira pukul 6.30 petang itu, tiga lelaki ditahan di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner di kawasan parkir sebuah kondominium Sri Damansara, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki suspek berusia 25 hingga 27 tahun itu menemukan dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 2,035 gram.

Kata beliau, polis turut merampas satu rangkai kunci mengandungi dua anak kunci berserta key-chain.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannbinol.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati seorang suspek mempunyai satu rekod di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983, manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohamad Fakhrudin, pihaknya kemudian telah menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia 25 hingga 31 tahun sebuah rumah di Sungai Buloh kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja.

Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 7.45 malam itu dibuat setelah mendapat maklumat daripada tangkapan pertama di Sri Damansara pada hari sama.

“Pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menemukan dadah jenis ganja seberat 2,893 gram.

“Selain itu, kita turut merampas tiga buah kenderaan jenis Isuzu D-Max, Proton Saga serta Perodua MyVi disita daripada serbuan tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing ke atas dua suspek didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannbinol, manakala seorang lagi suspek negatif dadah.

Katanya lagi, ketiga-tiga suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil dua rampasan dadah jenis ganja ini boleh dibekalkan kepada lebih kurang 1,000 orang penagih.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM12,320 dan nilai sitaan berjumlah RM117,000,” jelasnya.

Kata beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (1)(a) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN