Enam dari Perak tanding MKT UMNO - Utusan Malaysia

Enam dari Perak tanding MKT UMNO

SAARANI Mohamad (dua dari kiri) menyerahkan geran bagi tema penerbitan Orang Kurang Upaya (OKU) pada majlis di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai enam calon dari UMNO Perak sah bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman.

Katanya, tiga lagi ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun; Ketua Pemuda UMNO Perak, Datuk Mohd. Ariff Abdul Majid dan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad.

“Jadi orang Perak perlu menyokong dan mengundi mereka,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Bulan Wanita Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani yang sah menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Lenggong menasihatkan semua calon yang bertanding pada pemilihan parti kali ini agar bersaing secara sihat sepanjang proses pemilihan itu.

“Kalau ada manifesto, boleh sebutlah apakah yang akan kita buat jika kita diberi mandat tanpa perlu menyindir, melukakan hati orang dan tanpa perlu kita menidakkan jasa yang telah dibuat oleh orang lain.

“Kita ada kelemahan dan kelebihan, janganlah kita saling melondehkan satu sama lain, sebab bila kita londehkan kawan-kawan, siapa yang terpilih semua terlondeh,” katanya.

Saarani berkata, sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, UMNO membenarkan setiap ahlinya untuk menawarkan khidmat masing-masing kepada parti.

“Jadi, masing-masing kita hanya perlu menawarkan diri untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada parti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya