Enam babak Mentega Terbang gugat akidah

Enam babak Mentega Terbang gugat akidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FILEM Mentega Terbang yang menjadi polemik mutakhir ini adalah jelas menggugat akidah penonton secara terang-terangan melalui treler dan adegan yang dipaparkan. 

Selebriti dakwah, Amin Idris berkata, tidak dinafikan sebelum ini ada filem yang menyentuh bab akidah, namun disampaikan secara tersirat kepada khalayak penonton.  

Pengacara televisyen itu memaklumkan hasil penelitian keseluruhan filem itu mendapati terlalu banyak masalah apabila menonton naskhah tersebut. 

Menurutnya, terdapat enam adegan yang bermasalah dan jelas melakukan penghinaan terhadap Islam. 

“Watak bernama Aishah dikatakan mengkaji agama dan dalam masa sama makan khinzir. Kaji agama bukan justifikasi untuk melakukan benda haram. 

“Kedua, mereka percaya pada konsep reincarnation iaitu kelahiran semula. Apa mesej yang yang hendak disampaikan sebenarnya? 

“Sedangkan dalam Islam, ada pendapat alim ulama yang jelas menyatakan kufur bagi mereka yang berpegang kepada konsep tersebut,” jelasnya. 

Amin yang juga bergelar penulis dan penceramah bebas berkata, naskhah berdurasi satu jam 44 minit itu lebih membimbangkan apabila permulaan cerita memaparkan sebuah keluarga yang melakukan perbincangan tentang kitab Bible secara kasual.   

“Tak salah nak kaji Bible tetapi apakah mesej yang hendak disampaikan? Sedangkan terlalu banyak kandungan di dalam al-Quran yang boleh dibincangkan seisi keluarga beragama Islam,” tegasnya. 

Adegan keempat yang penuh keraguan jelas Amin, semasa Aishah masuk masjid dalam keadaan menutup aurat dengan sempurna dan lengkap bertudung. 

Namun, katanya, adegan itu memeranjatkan penonton apabila dia membuka habis auratnya di dalam masjid. 

“Tak dinafikan ada jemaah wanita yang membuka seluruh auratnya dalam masjid, tetapi keadaan itu adalah sangat jarang berlaku. 

“Mana-mana wanita tahu untuk menjaga aurat dan kemuliaan ketika berada di dalam masjid. Saya tidak pasti sama ada penulis skrip ini jarang ke masjid sebab apa yang dipaparkan tidak betul dengan situasi yang berlaku,” jelasnya. 

HINA JAKIM

Babak kelima pula adalah mengenai menyentuh anjing. Menurut Amin, walaupun terdapat khilaf dalam kalangan fuqaha mengenai bab sentuhan haiwan tersebut, tetapi ia bukan lesen untuk menjayakan adegan sama seperti memegang kucing kepada khalayak penonton. 

Adegan terakhir jelasnya mengenai isu penghinaan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Menerusi babak ini, katanya, terdapat kesilapan fakta yang ketara dan penulis skrip seolah-olah tidak melakukan kajian teliti. 

“Adegan ini cuba mendakwa Jakim sebagai dalang yang menyusahkan orang ramai untuk murtad. Sedangkan, Jakim adalah badan yang mengurus selia hal ehwal agama di peringkat Persekutuan dan tidak mempunyai bidang kuasa agama di peringkat negeri. 

“Murtad pula adalah jenayah besar dalam agama dan sebab itu wujud prosedur ketat mengenai perkara itu di negara ini. Semasa dialog mengenai Jakim, tidak semena-mena kamera menunjukkan ke arah anjing. Ini secara tidak langsung menghina Jakim,” tegasnya. 

Secara keseluruhannya, Amin menegaskan filem itu tidak layak dipertontonkan kerana mengancam akidah kepada umat Islam, lebih-lebih lagi kepada golongan kanak-kanak yang mudah terpengaruh.  

Filem itu ditayangkan melalui platform penstriman Viu sejak 19 Januari lalu, sebelum ditarik balik.  

Skrip yang ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui mengisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan.

Malah, ada babak yang menunjukkan ayah Aishah berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain konon bagi mencari jawapan.

Naskhah itu tidak tertakluk tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana hanya ditayangkan melalui wadah atas talian dan bukan pawagam atau televisyen. 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya