FREIBURG: Lukas Kubler muncul wira Freigburg selepas meledak dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Braga 3-1 sekali gus mencatat kemenangan agregat 4-3 untuk mara ke final Liga Europa bertemu Aston Villa.
Braga turun dengan bekalan gol daripada aksi pertama, namun nasib kelab Portugal itu berubah seawal minit ketujuh selepas Mario Dorgeles dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Jan-Niklas Beste yang sedang meluru ke arah gawang.
Kelebihan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Freiburg apabila Kubler membuka jaringan pada minit ke-19 hasil situasi kelam-kabut di hadapan gol Braga.
Tuan rumah kemudian menggandakan kelebihan menerusi rembatan menarik Johan Manzambi yang melepaskan percubaan lencong menewaskan penjaga gol, Lukas Hornicek.
Bersambung babak kedua, Freiburg terus mengasak dan Kubler sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila menanduk masuk sepakan percuma Vincenzo Grifo untuk gol ketiga pasukan.
Braga cuba bangkit menerusi jaringan Pau Victor pada penghujung permainan, namun usaha mereka itu tidak cukup untuk menghalang Freiburg daripada melakar kemenangan bersejarah.
Kubler menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Ini seperti mimpi menjadi kenyataan. Suasana di stadium luar biasa dan para penyokong memberikan kami tenaga sepanjang perlawanan,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Freiburg, Matthias Ginter berkata, pasukannya kini hanya selangkah untuk mencipta sejarah terbesar kelab.
“Ini mungkin perlawanan laman sendiri paling penting dalam sejarah Freiburg, tetapi kami masih ada satu lagi tugas besar di final nanti,” katanya. – AFP










