Empat tahun 14,229 kes vandalisme direkod polis

Empat tahun 14,229 kes vandalisme direkod polis

TANGKAP layar video yang memaparkan pelajar merosakkan harta benda sekolah yang tular dalam media sosial yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 14,229 perbuatan laku musnah atau vandalisme melibatkan harta benda awam dan kemudahan awam direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh empat tahun sejak 2020 sehingga awal tahun ini.

Daripada jumlah itu, kes vandalisme paling tinggi dilaporkan iaitu pada tahun 2021 dengan 5,054 kejadian diikuti 2022 (4,575 kejadian) 2020 (4,237 kejadian) dan Januari lalu (363 kejadian).

Sepanjang tempoh sama, sebanyak 1,722 kes khianat dengan api dicatatkan di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, antara perbuatan laku musnah yang kerap dilaporkan adalah melibatkan kerosakan kemudahan awam dan utiliti seperti pagar dan dinding yang disimbah cat selain memusnahkan papan tanda jalan.

Kata beliau, buat masa ini masalah vandalisme tidak di tahap membimbangkan malah kebanyakan kes yang dilaporkan adalah terpencil.

“Sekiranya ada laporan yang dibuat terhadap perbuatan laku musnah, tindakan tegas diambil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, semalam.

Jalil berkata, bagi kes vandalisme di sekolah, sebanyak 14 kes direkodkan PDRM dalam tempoh empat tahun sejak 2020 sehingga awal tahun ini.

Kata beliau, bagi kes kerosakan harta benda di sekolah, kejadian seumpama itu diserahkan kepada Jabatan Pendidikan di negeri terlibat untuk diambil tindakan.

“Murid yang dikesan terlibat dengan perlakuan ini boleh diambil beberapa tindakan berdasarkan Panduan Pengurusan Disiplin Murid yang mana antara hukuman yang pihak sekolah boleh pilih adalah seperti gantung sekolah, rotan atau ganti rugi,” katanya.

Minggu lalu, masyarakat dikejutkan dengan satu rakaman video yang memaparkan perlakuan vandalisme membabitkan pelajar dari sebuah sekolah menengah dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang, yang merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.

Dua video masing-masing berdurasi 28 saat dan 58 saat di media sosial memaparkan beberapa pelajar turut menendang pintu bilik darjah dan tandas sehingga pecah serta merosakkan kerusi malah mereka turut merosakkan kipas sambil bergelak ketawa.

Video berkenaan mendapat reaksi negatif netizen yang menyifatkan tindakan pelajar berkenaan tidak mencerminkan didikan diajar di sekolah.

Pada 18 Februari lalu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memaklumkan pelajar yang terlibat dalam kegiatan vandalisme berkenaan akan dilibatkan dalam khidmat komuniti.

Tindakan tersebut diambil sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara sama tidak berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×